Bila PMX sakan dikecam, bila Pas dipersoal 36 tahun, muncul dalil ‘kita bukan Nabi’

Alasan Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, yang mengaitkan tempoh 36 tahun pemerintahan parti itu di Kelantan dengan perjuangan Nabi Muhammad SAW selama 23 tahun mengundang kritikan dan sindiran netizen di media sosial.

Menerusi petikan video yang tular, Mohd Amar menegaskan bahawa pemimpin Pas bukan nabi atau rasul, sebaliknya manusia biasa yang bekerja mengikut kemampuan.

Timbalan Pesuruhjaya Pas Kelantan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panchor itu turut mengingatkan supaya tidak mengharapkan segala-galanya dapat disiapkan dengan cepat.

Bagaimanapun, penjelasan itu mencetuskan kecaman dalam kalangan netizen termasuk mempertikaikan mengapa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sering menerima kritikan keras, sedangkan kekurangan kerajaan Pas pula dijelaskan dengan alasan keterbatasan manusia.

Pengguna Threads, haziqpratama_, mempersoalkan percanggahan tersebut dengan menyindir pihak yang menganggap pemimpin Pas sebagai manusia biasa tetapi tidak menggunakan pertimbangan sama ketika mengkritik PMX.

“Bila diri sendiri lemah, tahu pula kau ‘Kita bukan Nabi, kita bukan Rasul, kita manusia biasa’ tapi bila sampai tang PMX, habis tu hang ingat PMX tu Nabi, Rasul tak boleh buat salah?” tempelaknya.

Pandangan hampir sama disuarakan nescaffeoais yang menyindir sikap sesetengah pihak yang tidak henti-henti mengkritik PMX, tetapi memberikan alasan apabila kelemahan pentadbiran Pas dipersoalkan.

Sementara itu, pemilik akaun irfanlukman_123, yang memuat naik video berkenaan, meluahkan rasa sedih apabila agama dikaitkan dengan kelemahan sendiri. “Kadang-kadang kita yang buat agama kita nampak buruk,” tulisnya.

Kritikan lebih jelas disuarakan hjnajmi yang berpandangan bahawa agama tidak sepatutnya digunakan untuk menutup kelemahan pentadbiran.

“Tak usah sebut ‘kita’. Sebut aje Pas. Merekalah paling konsisten guna agama untuk tutup kelemahan sendiri,” tegasnya.

Sudah lebih 10 tahun

Tidak kurang menarik, mohdlazimmohdyassin membangkitkan persoalan mengenai kelewatan pembangunan KB Sentral yang mengambil masa begitu panjang sedangkan projek infrastruktur berskala besar di tempat lain mampu disiapkan dalam tempoh lebih singkat.

Persoalan itu timbul ketika projek KB Sentral masih dalam pelaksanaan walaupun diumum lebih 10 tahun lalu.

Pada September lalu, kerajaan Kelantan memaklumkan kerja rawatan tanah mencapai 73 peratus, manakala pembinaan fizikal disasarkan bermula pada awal 2027 dan siap menjelang akhir 2028.

Seorang lagi pengguna, hasanbasriomar, membandingkan tempoh pembinaan negara Madinah pada zaman Rasulullah SAW dengan pentadbiran Pas di Kelantan.

Beliau berpendapat negeri itu masih ketinggalan walaupun Pas telah diberi peluang memerintah selama 36 tahun.

Dalam pada itu, ashman.is berpandangan bahawa prestasi pentadbiran sepatutnya menjadi ukuran utama, bukannya sentimen agama dan perkauman dalam perdebatan politik.

Pas telah menerajui Kelantan secara berterusan sejak Oktober 1990. Walaupun tempoh panjang itu memperlihatkan sokongan politik yang berkekalan, perbahasan di media sosial menunjukkan masih terdapat tuntutan supaya pencapaian pembangunan negeri dinilai secara terbuka.

BACA JUGA KKM tidak berdiam diri, susun semula tenaga kerja pastikan rawatan tidak terganggu