Insiden pelajar serang guru dengan kapak: PKR gesa pekerja sosial ditempatkan di sekolah
Cadangan menempatkan pekerja sosial di sekolah perlu diberi perhatian bagi membantu guru menangani cabaran sosial dan kesejahteraan murid susulan insiden seorang pelajar yang didakwa menyerang guru menggunakan kapak di Kuching.
Naib Ketua Wanita PKR, Loh Ker Chean, berkata kejadian yang dilaporkan itu amat membimbangkan dan menuntut usaha bersama untuk memperkukuh sokongan kepada murid, selain meningkatkan literasi digital serta kesedaran mengenai tanggungjawab dalam penggunaan media sosial.
Dalam kenyataan media beliau turut mendoakan agar guru yang tercedera diberikan kesembuhan segera, sambil menyeru orang ramai menghormati proses siasatan dan tidak menyebarkan semula rakaman kejadian yang boleh menjejaskan mangsa serta pihak terlibat.
Menurutnya, insiden berkenaan mengingatkan masyarakat mengenai kepentingan membina nilai empati, rasa tanggungjawab dan penggunaan teknologi secara berhemah dalam kalangan murid sekolah.
“Media sosial tidak seharusnya menjadi ruang untuk menormalisasikan keganasan atau menjadikan penderitaan orang lain sebagai bahan tontonan,” katanya.
Loh berkata tanggungjawab membentuk budaya digital yang lebih bertanggungjawab tidak seharusnya diletakkan pada pihak sekolah semata-mata, sebaliknya memerlukan penglibatan ibu bapa, komuniti dan penyedia platform digital.
Beliau turut menegaskan semula cadangan penempatan pekerja sosial sekolah bagi membantu guru menangani pelbagai cabaran berkaitan keadaan sosial dan kesejahteraan murid, termasuk mengenal pasti keperluan sokongan serta memudahkan intervensi awal.
Katanya, pekerja sosial sekolah boleh berperanan sebagai penghubung antara murid, keluarga, pihak sekolah dan agensi berkaitan, sekali gus membantu memastikan murid yang memerlukan bantuan mendapat sokongan bersesuaian.
Cadangan itu, menurutnya, selari dengan usaha memperkukuh pengiktirafan dan pembangunan profesion kerja sosial menerusi Rang Undang-Undang Profesion Kerja Sosial 2026.
Bagaimanapun, Loh berkata usaha berkenaan perlu disusuli dengan penerokaan laluan kerjaya yang jelas untuk pekerja sosial di sekolah, selain penyediaan latihan serta mekanisme kerjasama antara pihak berkaitan.
Beliau menegaskan bahawa keganasan perlu ditangani secara tegas dan sewajarnya, namun masyarakat tidak seharusnya terburu-buru membuat kesimpulan mengenai punca sesuatu kejadian sebelum siasatan selesai.
“Memahami faktor yang menyumbang kepada tingkah laku berisiko bukan bermaksud membenarkan keganasan, tetapi membantu kita mencegahnya daripada berulang,” katanya.
Loh berkata matlamat usaha pencegahan bukan sekadar bertindak selepas tragedi berlaku, sebaliknya memastikan setiap murid mendapat sokongan yang diperlukan untuk membesar dalam persekitaran yang sihat, di samping membentuk nilai empati dan tanggungjawab.
BACA JUGA Kerajaan MADANI berjaya bendung ketirisan subsidi diesel, penggunaan di Sabah turun 10 peratus