‘Baru ada akai!’ Tun Faisal sindir Pas langgar aturan sendiri

Jika Pas mematuhi Perlembagaan Perikatan Nasional (PN) dan melaksanakan keputusan Majlis Tertinggi (MT) gabungan itu sejak awal, kemelut dalaman berkenaan tidak sepatutnya berlarutan sehingga dibawa ke mahkamah dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS).

Itu sindiran Ketua Penerangan Bersatu, Tun Faisal Ismail Aziz, yang membidas cara Pas menguruskan PN, termasuk dakwaan tindakan mengetepikan keputusan badan tertinggi gabungan serta rundingan yang dibuat tanpa melalui saluran sewajarnya.

Menerusi kenyataan di media sosial, Tun Faisal menggunakan ungkapan dialek Perak, “baru ada akai”, ketika mengulas keperluan mengadakan mesyuarat bagi menangani kemelut berkenaan.

Menurutnya, Pas selaku pengerusi dan pentadbir PN sepatutnya memastikan setiap urusan gabungan dilaksanakan mengikut perlembagaan serta keputusan MT, bukannya bertindak secara sepihak.

Beliau mendakwa, kegagalan mematuhi aturan itu, termasuk tindakan pemimpin Pas yang bukan anggota MT PN yang didakwanya melanggar keputusan badan berkenaan, menjadi antara punca pertikaian semakin meruncing.

Tun Faisal turut mendakwa Pas berunding di belakang tanpa melibatkan MT PN, sekali gus mempersoalkan amanah parti itu dalam menguruskan gabungan yang turut dianggotai Bersatu.

“Pas perlu faham bahawa mereka tidak sepatutnya bertindak secara unilateral dan melanggar perlembagaan PN kerana negara ini ada undang-undang dan PN ada perlembagaan serta aturannya,” katanya.

Dalam kenyataan sama, Tun Faisal menegaskan keputusan stay atau penangguhan pelaksanaan sesuatu keputusan tidak bermaksud mahkamah sudah memutuskan bahawa ROS bertindak salah.

Beliau berkata, keputusan itu juga tidak membuktikan Pas tidak melanggar Perlembagaan PN atau Bersatu tidak dinafikan haknya sebagai parti anggota gabungan berkenaan.

Penegasan itu ditujukan kepada sebarang tafsiran bahawa keputusan penangguhan tersebut sudah menyebelahi Pas dalam pertikaian berkenaan, sedangkan persoalan pokok mengenai pematuhan perlembagaan dan hak parti anggota masih perlu ditentukan melalui proses sewajarnya.

Bagi Tun Faisal, Pas tidak boleh menggunakan kedudukannya sebagai pengerusi dan pentadbir PN untuk mengetepikan aturan yang dipersetujui bersama.

Pertikaian itu kini memperlihatkan persoalan lebih besar dalam PN: sejauh mana parti yang menerajui gabungan bersedia mematuhi peraturan sendiri apabila berdepan percanggahan kepentingan dengan rakan sekutu.

BACA JUGA Polis giat buru lelaki menyamar pengawal peribadi Raja Muda Selangor