Demi keselamatan negara, Anwar beri bayangan Waze boleh diharamkan
Kerajaan tidak menolak kemungkinan menghentikan penggunaan Waze sepenuhnya sekiranya aplikasi alternatif didapati mempunyai keupayaan yang mencukupi, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau menegaskan keputusan itu akan mengambil kira keupayaan aplikasi alternatif terlebih dahulu, dengan keselamatan negara menjadi antara pertimbangan utama sebelum sebarang langkah lanjut diputuskan.
“Kalau dah esok kita tengok keupayaan kita cukup baik, maka kita mungkin… kemungkinan untuk menghentikan sama sekali,” katanya selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Mustaqim, Taman Nirwana.
Anwar berkata demikian ketika mengulas gesaan Pemuda DAP supaya kerajaan menyemak semula keputusan melarang penggunaan Waze oleh penjawat awam ketika menjalankan urusan rasmi.
Menurutnya, perkara itu telah dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri dan mendapat persetujuan Menteri Digital, Gobind Singh Deo, serta Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook.
“Pimpinan DAP semua ada, Gobind dan Loke setuju,” katanya.
Anwar menjelaskan keputusan berkenaan dibuat berdasarkan pertimbangan keselamatan negara, khususnya persoalan bidang kuasa undang-undang yang terpakai terhadap perkhidmatan digital berkenaan.
“Apakah sanggup kita serah maklumat kita kepada undang-undang Israel? Itu soalnya,” katanya.
Pada 21 Oktober lalu, kerajaan melarang penjawat awam menggunakan Waze ketika menjalankan urusan rasmi susulan keputusan Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara yang dipengerusikan Anwar.
Langkah itu mencetuskan perdebatan mengenai keselamatan data serta kemampuan aplikasi alternatif untuk memenuhi keperluan navigasi pengguna.
TuJu diperkemas, alternatif tempatan diberi perhatian
Susulan keputusan itu, Anwar menggalakkan orang ramai beralih kepada aplikasi navigasi tempatan, TuJu, yang dibangunkan Lembaga Lebuhraya Malaysia bersama Prosignal Consortium Sdn Bhd.
Bagaimanapun, beliau mengakui TuJu masih mempunyai beberapa kelemahan yang perlu diperbaiki dan meminta pengguna bersabar sementara kerajaan menilai kemampuan aplikasi alternatif yang tersedia.
Menurutnya, kelemahan yang masih wujud pada aplikasi berkenaan tidak seharusnya menyebabkan persoalan keselamatan negara diketepikan.
Pendekatan kerajaan ketika ini adalah menilai keupayaan alternatif yang tersedia sebelum mempertimbangkan langkah lebih menyeluruh terhadap penggunaan Waze.
Sementara itu, Pemuda DAP sebelum ini menggesa kerajaan menyemak semula keputusan berkenaan, manakala pihak Waze menafikan dakwaan bahawa aplikasinya mengumpul maklumat sensitif kerajaan atau membenarkan data peribadi pengguna dieksploitasi.
Buat masa ini, larangan yang diumumkan hanya melibatkan penjawat awam ketika menjalankan urusan rasmi.
Kemungkinan menghentikan penggunaan Waze sepenuhnya masih bergantung pada penilaian kerajaan terhadap keupayaan aplikasi alternatif dan belum merupakan keputusan muktamad.