‘Kritik Pas bukan kritik Islam!’ Baba Zul bidas perbandingan Nik Amar samakan Kelantan dengan perjuangan Rasulullah

Kelemahan pembangunan Kelantan tidak seharusnya disamakan dengan perjuangan dakwah Rasulullah SAW, apatah lagi dijadikan alasan untuk mempertahankan prestasi pentadbiran kerajaan negeri, kata Pengerusi Persatuan Pondok MADANI Kelantan, Baba Zulkarnain.

Beliau berkata, perbandingan yang dibuat pemimpin Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, antara tempoh pemerintahan Pas di Kelantan dengan perjuangan dakwah Rasulullah SAW selama 23 tahun di Makkah dan Madinah disifatkannya sebagai janggal serta dangkal dari sudut pemahaman sejarah Islam.

Menurutnya, perjuangan Rasulullah SAW membawa risalah tauhid, membina akhlak, menegakkan keadilan dan mengubah peradaban manusia, manakala prestasi sesebuah kerajaan negeri perlu dinilai berdasarkan amanah serta keupayaannya memenuhi keperluan rakyat.

“Jangan jadikan perjuangan suci Rasulullah SAW sebagai alasan untuk mempertahankan kelemahan pentadbiran manusia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baba berkata, isu seperti masalah bekalan air, kemiskinan, kekurangan prasarana dan kelemahan pembangunan di Kelantan merupakan persoalan pentadbiran yang perlu dijawab oleh pihak pemerintah, bukannya dilindungi dengan perbandingan terhadap perjuangan kerasulan.

Beliau turut mempersoalkan kewajaran perbandingan itu dibuat oleh seorang pemimpin yang mempunyai latar belakang pendidikan tinggi dalam pengajian Islam.

Katanya, ilmu agama sepatutnya mendorong seseorang berhujah dengan lebih cermat dan memahami perbezaan antara perjuangan membawa risalah Islam dengan tanggungjawab mengurus sebuah kerajaan.

“Sepatutnya ilmu menjadikan seseorang lebih cermat dalam berhujah, bukan mencampuradukkan perjuangan kerasulan dengan prestasi sebuah kerajaan negeri,” katanya.

Baba mendakwa ketaksuban politik boleh menyebabkan hujah yang lemah diterima sebagai sesuatu yang bijaksana, sedangkan Islam sendiri mengajar umatnya supaya berfikir, menilai dan melakukan muhasabah.

‘Kritik Pas bukan bermakna menentang Islam’

Mengulas lanjut, Baba menegaskan bahawa Pas sebagai sebuah parti politik tidak boleh disamakan dengan Islam secara keseluruhan sehingga kritikan terhadap pentadbirannya dianggap sebagai penentangan terhadap agama.

“Pas bukan Islam. Mengkritik kelemahan pemerintahan Pas bukan bermakna menentang Islam,” katanya.

Beliau berkata, rakyat Kelantan berhak menuntut kemajuan, pembangunan dan kehidupan yang lebih baik tanpa dipersalahkan hanya kerana mempersoalkan prestasi kerajaan negeri.

Menurutnya, pemerintah perlu bersedia menerima kritikan dan menjawab persoalan rakyat berdasarkan pencapaian sebenar, khususnya dalam perkara yang menyentuh kehidupan harian seperti kemudahan asas, peluang ekonomi dan pembangunan infrastruktur.

Baba menegaskan bahawa perjuangan Rasulullah SAW wajar dihormati berdasarkan kedudukan dan misi kerasulan Baginda, bukannya dijadikan perbandingan mudah untuk mempertahankan kelemahan pentadbiran politik.

BACA JUGA ‘Dulu nak jaga Melayu, raja dan Islam, sekarang jual ikan’ – Sany sindir Ketua Pemuda