‘Dulu nak jaga Melayu, raja dan Islam, sekarang jual ikan’ – Sany sindir Ketua Pemuda 

Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan, menyindir seorang Ketua Pemuda parti politik yang pernah melaungkan slogan mempertahankan Melayu, Islam dan institusi diraja, tetapi menurutnya kini memperlihatkan percanggahan pendirian dalam isu membabitkan institusi diraja Negeri Sembilan.

Sindiran itu dilontarkan ketika beliau membahaskan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat, dengan mempersoalkan sikap pihak yang menggunakan sentimen bangsa, agama dan raja untuk meraih sokongan politik.

“Dulu ada satu ketua pemuda yang sekarang ini jual ikan tu, yang dia kata, ‘Jangan ganggu raja kami, jangan ganggu agama kami, jangan ganggu bangsa kami’,” katanya.

Sany kemudian membangkitkan kemelut berkaitan institusi diraja Negeri Sembilan sebagai contoh yang menurutnya menimbulkan persoalan terhadap pendirian pihak berkenaan.

“Sekarang ni dekat Negeri Sembilan ni, raja ni hari ini kamu angkat sumpah depan raja tu, besok kamu nak turun, kamu nak pecat, kamu nak jatuhkan raja tu. Ini apa ni? Nak jaga Melayu, nak jaga Islam, nak jaga raja?” katanya.

Beliau mempersoalkan sama ada slogan mempertahankan Melayu, Islam dan raja benar-benar berasaskan prinsip atau sekadar digunakan apabila menguntungkan kepentingan politik pihak tertentu.

Dalam ucapannya, Sany turut menegaskan bahawa perbezaan kaum bukan alasan untuk menjadikan masyarakat Cina atau India sebagai sasaran permusuhan.

“Musuh kita bukan Cina. Musuh kita bukan India. Musuh kita ialah golongan oportunis daripada kalangan kita sendiri yang hidup meniup sentimen dan kebencian,” katanya.

Menurut beliau, politik yang terus memainkan sentimen kaum dan agama berisiko mengalihkan perhatian masyarakat daripada persoalan sebenar berkaitan tadbir urus, tanggungjawab pemimpin dan kepentingan rakyat.

Sany turut menyentuh kepentingan menilai pendirian pemimpin berdasarkan tindakan dan prinsip yang konsisten, bukannya hanya slogan yang dilaungkan di pentas politik.

Bagaimanapun, dalam petikan ucapan yang dirujuk, Sany tidak menyebut nama individu berkenaan secara jelas. 

Untuk rekod, Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Akmal Saleh didapati bersalah memfitnah Ahli Parlimen Seputeh(DAP) Teresa Kok dalam isu berkaitan loga halal.

Mahkamah Tinggi menjatuhkan denda RM300.000, dalam satu siaran di media sosial, Akmal dilaporkan menjual motosikal dan ikan talapia di kolamnya bagi menampung pembayaran denda tersebut

BACA JUGA Rafizi fail saman terhadap Ramanan