DUN Sarawak bubar 26 Oktober, PRN dalam tempoh 60 hari

Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak akan dibubarkan berkuat kuasa 26 Oktober ini bagi membuka laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-13.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, berkata pembubaran itu mendapat perkenan Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Beliau berkata, pembubaran berkenaan dibuat selaras dengan Perkara 21(2) Perlembagaan Negeri Sarawak.

“Yang di-Pertua Negeri, selaras dengan Perkara 21(2) Perlembagaan Negeri Sarawak, telah memperkenankan pembubaran itu berkuat kuasa pada 26 Oktober 2026,” katanya.

Menurut Abang Johari, Perkara 21(4) Perlembagaan Negeri Sarawak menetapkan pilihan raya negeri perlu diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran DUN.

Katanya, DUN yang baharu juga hendaklah dipanggil bersidang pada tarikh yang tidak melebihi 120 hari dari tarikh pembubaran berkenaan.

Pembubaran itu membuka laluan kepada PRN Sarawak ke-13, dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijangka mengumumkan jadual rasmi pilihan raya, termasuk tarikh penamaan calon dan hari pengundian.

Pada pilihan raya negeri terakhir pada 18 Disember 2021, Gabungan Parti Sarawak (GPS) memenangi 76 daripada 82 kerusi DUN, sekali gus mengekalkan penguasaan kerajaan negeri.

PRN kali ini bakal menentukan mandat baharu kerajaan Sarawak untuk tempoh lima tahun akan datang.

BACA JUGA Rafizi fail saman terhadap Ramanan