Gaji bawah RM2,500, PTPTN tangguh dulu! Graduan boleh tarik nafas lega
Graduan berpendapatan RM2,501 hingga RM3,000 sebulan hanya perlu membayar balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) pada kadar minimum RM50 sebulan menerusi kelonggaran yang diperkenalkan dalam Belanjawan 2027.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Adam Adli Abdul Halim berkata inisiatif kelonggaran bayaran balik pinjaman itu dijangka memanfaatkan lebih 400,000 orang bagi membantu mengurangkan beban kewangan graduan yang baru memasuki alam pekerjaan.
Beliau berkata graduan berpendapatan di bawah RM2,500 sebulan pula tidak perlu memulakan bayaran balik sehingga mencapai ambang pendapatan yang ditetapkan.
“Keresahan ini boleh ditangani dengan cara ini, yang paling berkesan buat masa sekarang.
“Ini adalah antara perkara yang sudah bertahun-tahun sebenarnya dibincangkan, diwacanakan dan sekarang kita boleh, insya-Allah laksanakan menerusi Belanjawan 2027,” katanya dalam temu bual dengan stesen radio tempatan baru-baru ini.
Adam Adli ketika mengulas mengenai kos sara hidup mahasiswa berkata inisiatif Dapur Siswa MADANI yang menyediakan kemudahan memasak secara berpusat di kampus akan diperluas ke politeknik dan Institut Pendidikan Guru (IPG) pada tahun hadapan.
Beliau berkata peruntukan RM20 juta disediakan untuk membekalkan bahan makanan dan keperluan asas termasuk beras, minyak masak, telur dan sardin kepada dapur berkenaan.
“Pelajar boleh menggunakan bekalan itu untuk memasak sendiri atau secara berkumpulan, dengan perancangan dibuat bersama-sama persatuan pelajar atau pengurus dapur bagi membantu mengawal perbelanjaan makanan,” katanya.
Sementara itu, dari aspek pengangkutan, beliau berkata pas My50 diteruskan, selain penambahan MyKomuter50 untuk pengguna perkhidmatan komuter Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), yang turut dapat dimanfaatkan mahasiswa bagi perjalanan harian.
Selain itu, bantuan FlySiswa ditingkatkan daripada RM400 kepada RM500 setahun bagi setiap pelajar yang layak untuk membeli tiket penerbangan antara Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak bagi perjalanan berkaitan pengajian.
Adam Adli pada masa sama berkata Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) terus diperkasa bagi golongan muda yang lebih berminat dalam kemahiran teknikal, dengan kebolehpasaran graduannya mencatatkan kadar antara 95 hingga 97 peratus setiap tahun.
Beliau berkata kemasukan pelaburan dalam industri berteknologi tinggi turut membuka peluang pekerjaan yang memerlukan penguasaan kemahiran baharu.
Sebagai contoh, beliau berkongsi pengalaman bertemu seorang graduan diploma politeknik berusia 20-an yang memperoleh pendapatan antara RM6,000 hingga RM7,000 sebulan selepas kira-kira setahun menamatkan pengajian dan bekerja dalam sektor pusat data di Johor.
“TVET adalah satu laluan yang kita perkasakan kembali untuk pastikan bahawa ramai anak muda, lepasan sekolah dan sebagainya yang tidak minat, contohnya jurusan yang bersifat akademik tapi yang bersifat teknikal, TVET adalah jawapannya.
“Kadang-kadang apa yang kita perlukan hanyalah kemahiran,” katanya.- BERNAMA
BACA JUGA Profesor G70 sokong larangan Waze, gesa audit bebas aplikasi TuJu