Loke tak guna pentas Melaka untuk serang peribadi, pilih bentang hasil kerja Kerajaan MADANI
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook memilih untuk tidak menggunakan pentas kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bagi menyerang peribadi lawan politik.
Beliau sebaliknya menumpukan ucapan kepada pencapaian Kerajaan MADANI pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pendekatan itu jelas menerusi ucapannya pada Majlis Pengumuman Calon dan Pelancaran Jentera Pilihan Raya Pakatan Harapan (PH) Negeri Melaka di Stadium Hang Jebat, malam tadi.
Timbalan Pengerusi PH berkenaan lebih banyak mengetengahkan kejayaan pentadbiran kerajaan sepanjang hampir empat tahun, termasuk kestabilan politik, pertumbuhan ekonomi dan usaha mengembalikan martabat Malaysia di persada antarabangsa.
Loke berkata, ketika beberapa negara lain berdepan ketidaktentuan politik dan ekonomi, Malaysia berjaya mengekalkan kestabilan hasil pentadbiran kerajaan ketika ini.

Malah, Menteri Pengangkutan itu berkata, kerajaan turut memastikan rakyat terus mendapat manfaat melalui pelbagai dasar, termasuk pengekalan subsidi bahan api serta pelaksanaan bantuan bersasar.
Beliau menjelaskan, rasionalisasi subsidi bukan bertujuan membebankan rakyat, sebaliknya memastikan perbelanjaan negara lebih cekap dan penjimatan dapat dikembalikan kepada golongan yang benar-benar memerlukan.
Antara manfaat yang diketengahkan ialah Sumbangan Asas Rahmah (SARA), bantuan pendidikan, insentif kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana serta langkah percukaian yang mengambil kira kebajikan rakyat.
Memerangi rasuah
Selain itu, Loke menegaskan komitmen kerajaan memerangi rasuah dan membanteras ketirisan supaya hasil negara tidak disalahgunakan, sebaliknya dimanfaatkan untuk kesejahteraan masyarakat.
Beliau turut memberikan contoh bagaimana hasil kutipan nombor pendaftaran khas kenderaan disalurkan semula bagi membantu golongan yang memerlukan.
“Seperti yang baru-baru kita buat, hasil daripada jualan nombor pendaftaran H sebanyak RM91 juta, kita bagi balik terus kepada pemandu teksi (yang layak) RM1,000 seorang.
“Untuk pemandu teksi di Melaka, tolong ambil perhatian. Saya akan turun pagi Isnin ini (esok), kita bagi terus RM1,000 kepada setiap pemandu teksi,” katanya, merujuk kepada penerima yang layak.
Menurut Loke, pendekatan mengembalikan hasil negara kepada rakyat merupakan antara prinsip utama pentadbiran kerajaan ketika ini.
“Kita percaya kita diberi amanah untuk menjaga kerajaan, menjaga negara ini, menjaga harta dan hasil kita untuk kesejahteraan rakyat. Ini falsafah kita dalam kerajaan,” tegasnya.
Dalam masa sama, Loke turut mengakui PH tidak sentiasa memperoleh kemenangan dalam pilihan raya. Namun, beliau mengingatkan seluruh jentera supaya tidak patah semangat apabila berdepan kekalahan.
Katanya, keputusan kurang memuaskan di beberapa negeri, termasuk Negeri Sembilan, tidak harus melemahkan perjuangan gabungan itu menjelang PRN Melaka.
“Dalam dunia politik, kadang-kala kita menang, kadang-kala kita kalah. Jadi, bukan selalu kita mendapat keputusan terbaik.
“Yang paling penting ialah semangat juang kita, kekal kuat dan kekal tinggi.
“Walaupun kita kecundang di Negeri Sembilan, kita akan bangkit kembali di Melaka. Dalam PH, susah senang kita bersama,” katanya.
Justeru, Loke berharap rakyat Melaka dapat menilai PH berdasarkan pencapaian pentadbiran, kestabilan negara serta dasar yang memberi manfaat secara langsung kepada kehidupan mereka.
Beliau turut menyeru seluruh jentera PH supaya terus bersatu dan bekerja keras menghadapi PRN Melaka, dengan membawa mesej pencapaian kerajaan kepada pengundi.
BACA JUGA Bimbang pengundi Cina gara-gara Pas mungkin punca MCA tak puas hati agihan kerusi BN