‘Asalkan tak kena selera, mengeluh di Facebook’ – Mufti Wilayah tegur sikap sebahagian asatizah
Mufti Wilayah Persekutuan, Sahibus Samahah Tuan Haji Ahmad Fauwaz Fadzil menegur sikap sebahagian asatizah yang memilih untuk meluahkan rasa tidak puas hati di Facebook berhubung proses mendapatkan tauliah mengajar agama, sehingga boleh menimbulkan salah faham terhadap institusi agama.
Beliau mengingatkan golongan agamawan supaya mengutamakan budaya perbincangan dan pertemuan secara bersemuka dengan pihak berautoriti, bukannya menjadikan media sosial sebagai tempat mengadu setiap kali sesuatu perkara tidak menepati kehendak mereka.
“Asalkan tidak kena dengan selera kita, kita akan mengeluh di Facebook,” tegurnya dalam satu kenyataan.
Ahmad Fauwaz berkata, nasihat itu ditujukan kepada sebahagian asatizah yang mengadu mengenai soalan dikemukakan pemeriksa ketika proses mendapatkan tauliah, yang kononnya merendahkan tahap keilmuan mereka.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa pemeriksa yang menjalankan penilaian tersebut dilantik berdasarkan kepakaran masing-masing dan proses berkenaan tidak sewajarnya terus dijadikan polemik umum hanya kerana timbul rasa tidak puas hati.
“Saya ingin memberi nasihat kepada sebahagian asatizah yang mengadu isu tauliah di mana pemeriksa bertanya soalan seolah-olah merendahkan ilmu mereka, agar tidak menjadikan isu umum kerana pemeriksa ini dilantik berdasarkan kepakaran,” katanya.
Membina persefahaman
Menurutnya, pendekatan yang lebih baik adalah dengan mengadakan pertemuan bersama mufti negeri atau pengerusi jawatankuasa tauliah bagi menyampaikan pandangan, mendapatkan penjelasan dan membina persefahaman antara kedua-dua pihak.
“Seeloknya boleh datang berbincang dengan pihak berkenaan secara dalaman dengan menziarahi atau bertemu Mufti setiap negeri atau pengerusi tauliah untuk memberi pandangan dan saling mengenal antara satu sama lain.
“Kita sama-sama bertanggungjawab menjaga nama baik institusi,” jelasnya.
Ahmad Fauwaz turut menegaskan bahawa beliau sendiri lebih memilih pendekatan ziarah dan perbincangan sekiranya berdepan perkara yang menimbulkan rasa tidak puas hati, berbanding membuat kenyataan terbuka di Facebook.
“Saya secara peribadi di dalam hal seperti ini akan datang menziarahi dan tidak sama sekali melontarkan di FB kerana kadang-kadang mengundang salah faham terhadap institusi agama,” katanya.
Beliau mengakhiri tegurannya dengan menyeru golongan asatizah supaya memperbanyakkan budaya ziarah dan dialog dalaman bagi menyelesaikan sebarang perbezaan pandangan secara lebih harmoni.
“Banyakkan budaya ziarah dan dialog dalaman bukan mengeluh di FB,” pesannya.
BACA JUGA Semalam kita ‘meeting’, hari ini kita bawa ke PMX, hari ini juga selesai, ini cara Gen Z bekerja