Dulu PH sokong Ismail Sabri, kini Bersatu pula dekati Anwar melalui CSA
Landskap politik negara menyaksikan satu lagi perkembangan menarik apabila cadangan Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA) antara Kerajaan Perpaduan dengan Bersatu serta Ahli Parlimen Bebas mendapat reaksi positif, sekali gus mengingatkan rakyat kepada kerjasama politik yang pernah berlaku pada 2021.
Jika lima tahun lalu Pakatan Harapan (PH) yang berada di blok pembangkang bersetuju menjalin persefahaman dengan kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, kini pendekatan hampir sama dilihat berpotensi berlaku antara Bersatu dan kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin menyambut baik perkembangan berkaitan CSA yang menurutnya melibatkan 13 Ahli Parlimen daripada Bersatu dan kelompok Ahli Parlimen Bebas.
Menurut beliau, pendekatan tersebut bukan sesuatu yang asing dalam politik Malaysia kerana pernah dilaksanakan melalui Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik antara kerajaan Ismail Sabri dengan PH pada September 2021.
Ketika itu, persefahaman berkenaan membantu meredakan ketidaktentuan politik selepas kejatuhan kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin, sekali gus membolehkan pentadbiran negara diteruskan dengan lebih stabil.
Sim berkata, Kerajaan Perpaduan ketika ini sudah mempunyai sokongan dua pertiga Ahli Parlimen dan kerjasama tambahan melalui CSA berpotensi memperkukuhkan lagi kedudukan pentadbiran Anwar.
Pelaksanaan reformasi
Beliau yakin kestabilan tersebut akan membolehkan kerajaan memberikan tumpuan kepada pembangunan ekonomi, kesejahteraan rakyat dan pelaksanaan reformasi tanpa terus terganggu oleh percaturan politik yang tidak berkesudahan.
Malah, Sim percaya Kerajaan MADANI mampu kekal stabil sehingga penghujung penggal Parlimen sekiranya persefahaman politik seperti itu dapat diperkukuhkan.

Dalam perkembangan berkaitan, satu lagi kenyataan mengenai CSA turut menegaskan bahawa kerjasama antara kerajaan dengan pembangkang bukan bermaksud mana-mana pihak perlu mengorbankan prinsip atau menyerahkan peranan politik masing-masing.
Sebaliknya, CSA dilihat sebagai situasi menang-menang apabila kerajaan memperoleh kestabilan untuk mentadbir, manakala pihak yang menyertai persefahaman dapat memainkan peranan dalam memastikan agenda penting negara berjalan lancar.
Bagaimanapun, kenyataan itu menegaskan bahawa penerima manfaat terbesar daripada sebarang kerjasama politik mestilah rakyat, bukannya parti atau pemimpin yang terlibat.
Antara agenda yang boleh mendapat manfaat daripada kestabilan politik termasuk pelaksanaan Belanjawan 2027, reformasi institusi, usaha memperkukuhkan tadbir urus serta pindaan Perlembagaan yang penting untuk masa depan negara.
Pada masa sama, Sim menegaskan bahawa Bersatu dan Ahli Parlimen Bebas masih boleh menjalankan tanggungjawab sebagai pembangkang, termasuk mengkritik dasar kerajaan dan melaksanakan fungsi semak dan imbang secara berkesan.
Beliau turut menyeru parti pembangkang lain supaya mempertimbangkan pendekatan sama kerana perbezaan politik tidak seharusnya menjadi penghalang kepada kerjasama demi kepentingan negara.
Perkembangan ini memperlihatkan bagaimana pendekatan yang pernah digunakan PH ketika menjadi pembangkang kini kembali menjadi pilihan dalam usaha mewujudkan kestabilan politik, meskipun kedudukan parti-parti yang terlibat sudah berubah.
Seperti ditegaskan Sim, sudah tiba masanya politik negara beralih daripada usaha menjatuhkan kerajaan kepada persaingan yang lebih matang dalam membangunkan negara, dengan rakyat menjadi penerima manfaat utama.
BACA JUGA Konon SG4 tak dapat perhatian Putrajaya, rupanya berbilion ringgit disediakan untuk negeri PN