Kemelut dengan istana belum selesai, Belanjawan 2027 Negeri Sembilan pula terancam

Belum reda kemelut antara kerajaan Negeri Sembilan dengan institusi istana, pentadbiran Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim kini berdepan satu lagi cabaran.

Pembentangan Belanjawan Negeri 2027 dikhuatiri tergendala sekiranya persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) gagal diadakan seperti dirancang.

Keadaan itu menimbulkan persoalan mengenai kemampuan kerajaan negeri yang diterajui Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) memastikan kelancaran pentadbiran, lebih-lebih lagi ketika pertikaian membabitkan kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir masih belum diselesaikan.

Persidangan DUN sepatutnya berlangsung pada 26 November depan, disusuli pembentangan Belanjawan Negeri Sembilan 2027 pada keesokan harinya.

Bagaimanapun, sehingga kini belum ada pengesahan rasmi bahawa tarikh persidangan itu sudah mendapat perkenan Tuanku Muhriz, manakala Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang dilaporkan masih belum menerima notis persidangan.

Pengerusi DAP Negeri Sembilan, J Arul Kumar sebelum ini mempersoalkan sama ada Ismail sudah mendapatkan perkenan baginda bagi membolehkan persidangan tersebut berlangsung mengikut prosedur yang ditetapkan.

“Jadi, adakah tarikh persidangan DUN yang Menteri Besar maklumkan kepada media dijadualkan pada 26 November dan pembentangan belanjawan pada 27 November itu sudah mendapat perkenan daripada Tuanku atau tidak?” soalnya, dipetik Sinar Harian.

Perjalanan pentadbiran

Persoalan itu timbul selepas Ismail sebelum ini dikaitkan dengan tindakan mempertikaikan kedudukan Tuanku Muhriz susulan proklamasi penurunan takhta baginda yang menjadi pertikaian sejak April lalu.

Malah, Tuanku Muhriz pada 16 Oktober lalu secara terbuka membangkitkan tindakan Ismail yang menulis surat kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja bagi memaklumkan bahawa baginda bukan lagi pemerintah Negeri Sembilan.

Keadaan tersebut menjadikan hubungan antara pentadbiran negeri dengan institusi istana antara perkara penting yang perlu ditangani sebelum persidangan DUN dapat diteruskan.

Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Negeri Sembilan, Dr Muhamad Fuad Abdul Karim pula mengingatkan bahawa kegagalan mengadakan persidangan DUN dalam tempoh yang ditetapkan boleh menjejaskan perjalanan pentadbiran kerajaan negeri.

“Sekiranya ia (sidang DUN) tidak dapat diadakan pada tempoh masa yang ditentukan, ada kemungkinan ia akan menggugat kerajaan sedia ada, tambahan pula jika belanjawan negeri tidak dapat dibentang dan diluluskan,” katanya seperti dipetik BH.

Menurutnya, kegagalan meluluskan belanjawan boleh menimbulkan masalah terhadap pembiayaan operasi kerajaan negeri yang memerlukan kelulusan peruntukan melalui proses perundangan.

“Pentadbiran kerajaan negeri akan terjejas kerana tiada sumber kewangan yang diluluskan,” katanya.

Kebimbangan itu turut dikaitkan dengan ketetapan perlembagaan negeri yang menghendaki persidangan DUN diadakan dalam tempoh enam bulan daripada persidangan sebelumnya.

Bekas Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun sebelum ini memberi amaran bahawa DUN mungkin berdepan risiko pembubaran sekiranya tiada persidangan sehingga awal Februari 2027.

Bagaimanapun, pakar perlembagaan Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod menjelaskan bahawa kegagalan bersidang dalam tempoh enam bulan tidak secara automatik menyebabkan DUN terbubar.

Menurutnya, Perkara LVI(1) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 tidak memperuntukkan pembubaran automatik atas alasan tersebut.

Semakin rumit

Kemelut pentadbiran negeri semakin rumit apabila Ismail masih enggan mengemukakan senarai pelantikan 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) baharu selepas pelantikan barisan terdahulu dibatalkan oleh Tuanku Muhriz berkuat kuasa 20 September lalu.

Kesemua 10 bekas Exco berkenaan telah mengambil tindakan undang-undang bagi mencabar kesahihan pembatalan pelantikan mereka, manakala Mahkamah Persekutuan dijadual mendengar persoalan perlembagaan berkaitan pada 16 Disember depan.

Ismail sebelum ini menegaskan bahawa beliau mahu menunggu keputusan mahkamah sebelum mengambil sebarang tindakan berhubung pelantikan Exco baharu.

“Buat masa ini, kami sudah membawa perkara itu ke mahkamah, jadi kita tunggu proses mahkamah. Mungkin ada perbincangan, tetapi saya tidak pasti,” katanya.

Beliau bagaimanapun memberi jaminan pentadbiran negeri masih berjalan seperti biasa dengan bantuan ketua-ketua jabatan kerajaan, selain menegaskan persiapan Belanjawan 2027 kini berada pada peringkat akhir.

Ismail turut menafikan dakwaan bahawa beliau akan meletakkan jawatan Menteri Besar dan mendakwa masih mendapat sokongan penuh daripada 24 ADUN kerajaan yang lain.

Namun, Muhamad Fuad berpandangan ketiadaan barisan Exco boleh menimbulkan kesulitan ketika persidangan DUN, khususnya apabila pelbagai persoalan berkaitan portfolio kerajaan perlu dijawab.

Menurutnya, keadaan itu berkemungkinan menyebabkan Menteri Besar terpaksa memikul tanggungjawab menjawab pelbagai isu membabitkan kepentingan negeri dan rakyat tanpa dibantu barisan Exco seperti kebiasaannya.

“Situasi itu akan menunjukkan kelemahan yang berlaku dalam kepemimpinan kerajaan sedia ada iaitu Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN),” katanya.

Beliau turut mengingatkan bahawa proses mahkamah membabitkan pertikaian pelantikan Exco mungkin mengambil masa panjang, terutama sekiranya terdapat rayuan sehingga ke peringkat tertinggi.

BACA JUGA Dulu PH sokong Ismail Sabri, kini Bersatu pula dekati Anwar melalui CSA