‘Bukan siapa paling lantang, tetapi siapa paling dipercayai’, PH pertaruh rekod kerja dalam PRN Melaka
Pakatan Harapan (PH) menegaskan bahawa kemenangan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 bukan ditentukan oleh pihak yang paling lantang bersuara, sebaliknya bergantung kepada sejauh mana sesebuah parti dan calonnya mendapat kepercayaan rakyat.
Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, gabungan itu akan mempertaruhkan rekod kerja, dasar serta keupayaan calonnya menyelesaikan masalah rakyat sepanjang kempen pilihan raya yang bermula hari ini.
Menurut beliau, PH memilih pendekatan kempen yang aman dan menghormati perbezaan pandangan politik, selain menolak sebarang bentuk politik kebencian, adu domba serta sentimen perkauman yang boleh memecahbelahkan masyarakat.
“Kami insaf bahawa kempen pilihan raya bukan diukur kemenangan daripada pihak mana yang paling lantang tapi sebenarnya siapa yang paling dipercayai,” katanya dalam sidang media selepas proses penamaan calon PRN Melaka, hari ini.
Saifuddin berkata, PH menganggap pilihan raya kali ini sebagai pesta demokrasi yang sepatutnya memberi ruang kepada semua pihak mengemukakan pandangan, dasar dan tawaran masing-masing secara terbuka.
“Kami menganggap PRN ini sebagai satu pesta demokrasi. Ini adalah satu ruang kempen yang akan kami ketengahkan pendekatan yang menghormati perbezaan pandangan dalam politik riuh-rendah dengan perbezaan pandangan,” katanya.
Menolak politik kebencian
Bagaimanapun, Saifuddin menegaskan kebebasan berbeza pandangan tidak seharusnya dijadikan alasan untuk menyemarakkan kebencian atau memainkan sentimen kaum sehingga menjejaskan keharmonian masyarakat.
“PH mengambil pendekatan perbezaan pandangan dihormati. Garisan merah kami ialah kami menolak sama sekali politik kebencian, politik adu domba, politik yang berteraskan membela kaum hingga menindas kaum lain.
“Itu kami tolak sama sekali. Itu garis kempen kami,” tegasnya.
Sehubungan itu, Saifuddin berkata, PH akan memberikan penekanan kepada kempen berasaskan dasar, idea dan pencapaian yang boleh dinilai pengundi, berbanding persaingan retorik politik semata-mata.
PRN Melaka ke-16 menyaksikan PH mempertaruhkan 24 calon, masing-masing 10 daripada PKR serta tujuh calon DAP dan tujuh Amanah.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 14 November sebagai hari pengundian.
BACA JUGA ‘Umi sedih sebenarnya baca semua itu…’, luahan ibu calon muda PH Kuala Linggi undang sebak