‘Umi sedih sebenarnya baca semua itu…’, luahan ibu calon muda PH Kuala Linggi undang sebak
“Umi sedihnya sebenarnya baca semua itu… tapi umi yakin Angah boleh.”
Demikian luahan penuh emosi ibu kepada calon muda Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Linggi, Muhammad Mukhlisul Mubin Julaisapiyah.
Detik-detik yang dikongsikan di media sosial Mukhlis itu dirakamkan ketika wanita berkenaan memberikan restu kepada anaknya untuk menggalas tanggungjawab sebagai calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.
Menerusi klip video berdurasi kira-kira tiga minit yang dikongsikan Mukhlis di Facebook miliknya hari ini, beliau dilihat sedang memohon restu daripada kedua-dua ibu bapanya.
Ibunya yang mesra dipanggil ‘Umi’ memberikan pesanan penuh kasih sayang, namun pada masa sama mengingatkan Mukhlis yang dipanggil ‘angah’ bahawa tanggungjawab sebagai calon pilihan raya bukan sesuatu yang boleh dipandang ringan.
“Ini tanggungjawab angah yang berat tau. Angah kena galas. Buat sehabis baik.
“Umi sedihnya sebenarnya baca semua itu… tapi umi yakin angah boleh,” katanya kepada Mukhlis yang mendengar dengan penuh perhatian.

Walaupun tidak memperincikan perkara yang dibacanya sehingga menimbulkan kesedihan, luahan wanita itu memperlihatkan perasaan seorang ibu yang kini menyaksikan anaknya berdepan cabaran baharu dalam dunia politik.
Memikul amanah
Malah, sebelum memberikan restu, beliau sempat mengajukan satu soalan kepada Mukhlis bagi memastikan anaknya benar-benar bersedia memikul amanah berkenaan.
“Angah sedia galas tak tanggungjawab ini?” soalnya, sebelum Mukhlis dilihat menganggukkan kepala sebagai tanda bersedia.
Namun, pesanan paling menyentuh hati hadir apabila ibunya mengingatkan anak muda itu supaya tidak sekali-kali mengabaikan kewajipan agama, biarpun bakal berdepan kesibukan dan tekanan sepanjang kempen pilihan raya.
“Jadi, buat yang terbaik. Ingat Tuhan. Sembahyang jangan tinggal. Al-Quran jangan tinggal. Umi reda,” katanya sebelum memeluk Mukhlis.
“Semoga angah berjaya,” sambung wanita itu, mengakhiri pesanan dengan doa dan restu seorang ibu.
Rakaman tersebut turut memperlihatkan sisi kekeluargaan di sebalik pencalonan Mukhlis, 25, yang kini membawa cabaran Parti Amanah Negara (AMANAH) mewakili PH di kerusi Kuala Linggi.
Graduan undang-undang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu merupakan antara calon muda yang diketengahkan PH pada PRN Melaka kali ini, dengan pencalonannya turut mendapat perhatian berikutan faktor usia dan pengalaman politiknya.
PRN Melaka ke-16 menyaksikan proses penamaan calon berlangsung hari ini, manakala hari pengundian ditetapkan pada 14 November depan.
BACA JUGA ‘Melaka Rumah Kita’ bergema, Bukit Katil bakal saksikan saingan tiga penjuru