Dihina dan dilabel tidak matang, Mukhlis tak gentar tetap lawan di Kuala Linggi

Dihina, dikeji dan dilabel tidak matang, malah bapanya turut dikaitkan dengan serangan terhadap dirinya.

Namun, semua itu tidak mematahkan semangat calon muda Pakatan Harapan (PH), Muhammad Mukhlisul Mubin Julaisapiyah, untuk meneruskan perjuangan politik di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Linggi.

Mukhlis yang mewakili Parti Amanah Negara (AMANAH) mengakui menerima pelbagai kecaman sejak diumumkan sebagai calon PH, termasuk dipertikaikan kematangannya untuk memikul tanggungjawab sebagai wakil rakyat pada usia muda.

“Macam-macam hinaan dan kejian saya dapat, macam-macam gelaran, kata tak matanglah dan sebagainya. Dan ada yang mengaitkan ayah saya juga.

“Tapi sekalipun, tidak dapat menggentarkan anak jati Kuala Linggi,” tegasnya ketika berucap pada hari penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16, hari ini.

Mukhlis menegaskan, sebagai anak tempatan yang dilahirkan dan dibesarkan di Kuala Linggi, beliau mempunyai semangat serta keazaman untuk membawa perubahan kepada masyarakat di kawasan berkenaan.

“Kita lahir membesar di sini. Kita ada semangat dan iltizam yang kita ingin bawa.

“Dan berilah peluang untuk kita membawa perubahan di DUN Kuala Linggi ini,” kata Ketua Mahasiswa AMANAH Nasional itu.

Berbakti

Mengulas kritikan yang mempertikaikan kematangannya, Mukhlis memberikan jawapan tegas bahawa kecaman yang diterima tidak menghalangnya daripada terus berdiri sebagai calon PH.

“Kalau tak matang, satu dunia kecam saya takkan saya berdiri lagi di sini,” ujar Ahli Jawatankuasa Pemuda AMANAH Negeri Melaka berkenaan.

Bagaimanapun, anak muda itu tidak menafikan masih mempunyai kekurangan dan banyak perkara yang perlu dipelajari, khususnya dalam dunia politik yang baharu diceburinya.

“Saya akui. Saya banyak kelemahan, banyak kesilapan. Masih lagi belajar, masih lagi baru dalam dunia politik tetapi semangat dan hati budi untuk berbakti di DUN Kuala Linggi takkan boleh dinafikan,” katanya.

Juara Pidato Antarabangsa Malaysia-Jordan 2025 itu kemudian mengakhiri ucapan dengan laungan penuh semangat.

“Membujur lalu melintang patah. Pakatan Harapan!” kata pemegang Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu.

BACA JUGA ‘Bukan siapa paling lantang, tetapi siapa paling dipercayai’, PH pertaruh rekod kerja dalam PRN Melaka