Kes 100 kakitangan Utusan, bekas editor persoal di mana Umno konon pembela Melayu?
Perjuangan Umno yang sering mengangkat pembelaan terhadap orang Melayu kini dipersoalkan bekas wartawan Utusan Malaysia, Borhan Abu Samah, susulan ketidakpastian nasib hampir 100 kakitangan akhbar berkenaan.
Borhan yang juga Ketua Pengarang Suara Merdeka menggesa Umno dan pemimpinnya tidak membiarkan pekerja Utusan menjadi mangsa penstrukturan industri media sehingga mata pencarian mereka terancam.
Beliau mengingatkan bahawa perjuangan membela Melayu perlu diterjemahkan melalui tindakan mempertahankan kebajikan pekerja, bukannya sekadar slogan politik ketika nasib mereka dipertaruhkan.
“Jangan jadikan Utusan tikus makmal. Jangan jadikan wartawan bahan eksperimen,” tegasnya menerusi tulisan yang diterbitkan pada 2 November lalu.
Kebimbangan itu timbul selepas Media Mulia Sdn Bhd, penerbit Utusan Malaysia dan Kosmo!, mengumumkan pelaksanaan Program Cuti Berbayar membabitkan hampir 100 kakitangan susulan penilaian semula operasi syarikat.
Menurut Borhan, langkah tersebut menimbulkan persoalan mengenai jaminan pekerjaan, kedudukan kakitangan selepas tempoh cuti berakhir serta pampasan sekiranya berlaku pemberhentian.
Beliau turut membangkitkan kaitan keluarga Naib Presiden Umno, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, dengan sebuah syarikat yang memiliki kepentingan dalam Media Mulia.
Menurut laporan SuaraTV yang memetik rekod Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Media Mulia dimiliki Aurora Mulia Sdn Bhd sebanyak 70 peratus dan Opulence Global Asia Sdn Bhd sebanyak 30 peratus.
Laporan sama menyebut Opulence Global Asia dimiliki sepenuhnya oleh JAG Private Equity Sdn Bhd, manakala anak Johari, Amir Nashrin Johari, disenaraikan sebagai salah seorang pengarah Opulence Global Asia.
Susulan hubungan korporat yang dilaporkan itu, Borhan meminta Johari menjelaskan pengetahuannya mengenai rancangan penstrukturan Media Mulia serta sebarang peranannya dalam keputusan yang membabitkan pekerja.
Bagaimanapun, Borhan menegaskan beliau tidak menuduh Johari sendiri mengarahkan keputusan berkenaan kerana perkara itu memerlukan bukti dan penjelasan daripada pihak berkaitan.
Bagi Borhan, nasib pekerja Utusan tidak boleh dipandang ringan kerana beliau sendiri pernah menyaksikan penutupan Kumpulan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad pada 9 Oktober 2019.
Penutupan tersebut menyebabkan lebih 800 pekerja kehilangan mata pencarian selepas akhbar berkenaan berdepan masalah kewangan yang berlarutan.
Pengalaman pahit itu mendorong beliau mengingatkan bahawa setiap pekerja mempunyai keluarga, anak yang masih bersekolah serta komitmen kewangan yang perlu ditanggung.
Sementara itu, Pengarah merangkap Ketua Pegawai Kewangan Media Mulia, Abd Wahid Idris menjelaskan bahawa penstrukturan syarikat diperlukan bagi memastikan kelangsungan perniagaan ketika industri media semakin beralih kepada platform digital.
Beliau memberi jaminan bahawa penerbitan Utusan Malaysia dan Kosmo! akan diteruskan, manakala kebajikan serta hak kakitangan tetap dilindungi mengikut undang-undang.
Namun, setakat pengumuman rasmi itu dibuat, syarikat belum memperincikan kedudukan akhir semua pekerja yang terlibat selepas program cuti berbayar berakhir.
Isu tersebut turut mendapat perhatian di Dewan Rakyat hari ini apabila Ahli Parlimen Pulai, Suhaizan Kaiat menggesa kerajaan memperincikan langkah membantu kakitangan Utusan yang berdepan risiko kehilangan pekerjaan.
Menjawab perkara itu, Timbalan Menteri Sumber Manusia, Khairul Firdaus Akbar Khan memaklumkan kementeriannya bersedia membantu pekerja terjejas termasuk melalui Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) sekiranya pemberhentian benar-benar berlaku.
Dalam keadaan nasib hampir 100 kakitangan masih belum diputuskan, gesaan Borhan meletakkan perhatian terhadap tindakan yang boleh diambil Umno, pemegang saham dan pengurusan Media Mulia bagi memastikan kebajikan pekerja terus terpelihara.
Persoalan yang dibangkitkan kini bukan sekadar bagaimana jenama Utusan Malaysia dapat diselamatkan, tetapi bagaimana masa depan pekerja yang selama ini menghidupkan akhbar Melayu itu dapat dijamin.
BACA JUGA Selepas ‘kantoi’ guna dewan kerajaan untuk kempen, Zahid kata lawan terdesak!