Asyik dakwa peruntukan Pusat tak adil untuk SG4, Akmal ‘basuh’ MP Bachok!

Dakwaan kononnya kerajaan Persekutuan menganaktirikan negeri-negeri dalam kelompok SG4 berhubung agihan peruntukan pembangunan dibidas Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, yang menyifatkan tuduhan itu tidak berasas.

Beliau sebaliknya meminta Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman  supaya membuat perbandingan secara lebih adil, terutama apabila angka kos projek pembangunan antara negeri digunakan untuk mendakwa wujud ketidakseimbangan agihan.

Ketika menjawab isu itu di Dewan Rakyat, Akmal menjelaskan Kelantan sebenarnya menerima kelulusan bagi 509 projek pembangunan Persekutuan di bawah Pelan Pembangunan Lima Tahun (Rolling Plan)  2027 dengan kos keseluruhan RM31.21 bilion.

Angka itu, katanya, hampir menyamai kos RM33.2 bilion bagi 280 projek pembangunan Persekutuan yang diluluskan untuk Pulau Pinang dalam tempoh sama.

“Kalau untuk perbandingan Kelantan, bilangan projek untuk tahun 2027, jumlah keseluruhan Kelantan 509 projek dan kosnya adalah RM31.21 bilion.

“Jadi sebenarnya kalau ikut nisbah perbandingan yang lain pun ada ruang yang Kelantan dapat lebih kerana perbandingan mungkin dari segi populasinya dan sebagainya,” katanya.

Terdahulu, Syahir membangkitkan dakwaan agihan peruntukan pembangunan kepada negeri-negeri kurang membangun tidak seimbang, dengan menyatakan enam negeri hanya menerima RM21 bilion pada tahun depan.

Beliau turut membandingkan jumlah RM7.7 bilion yang didakwa diperuntukkan kepada SG4 dengan kelulusan projek pembangunan Pulau Pinang bernilai RM33.2 bilion.

Ahli Parlimen itu kemudian mencadangkan supaya sekurang-kurangnya 50 peratus peruntukan pembangunan dalam Rolling Plan akan datang dikekalkan untuk negeri-negeri kurang membangun, termasuk Sabah dan Sarawak.

Bagaimanapun, Akmal menjelaskan perbandingan antara negeri tidak boleh dibuat hanya berdasarkan jumlah keseluruhan kos projek tanpa mengambil kira bilangan projek, keperluan pembangunan dan kos infrastruktur.

Katanya, kerajaan Persekutuan turut menanggung kos pembangunan kawasan perindustrian di negeri-negeri kurang membangun, termasuk pembelian tanah bagi projek tertentu.

Beliau memberikan contoh pembangunan kawasan Tok Bali di Kelantan dan Kulim Hi-Tech Park di Kedah yang memerlukan penglibatan serta peruntukan kerajaan Persekutuan.

“Bila kita membuka wilayah ataupun kawasan perindustrian yang baru, kosnya itu ditanggung oleh peringkat negeri. Tapi bila kita buka kawasan wilayah ataupun perindustrian, kerajaan Persekutuan terpaksa keluarkan peruntukan termasuk untuk pengurusan pembelian tanah kerana kita melihat ada keperluan untuk merapatkan jurang pembangunan itu,” katanya.

Akmal turut menolak dakwaan kerajaan Persekutuan mengenepikan pembangunan negeri-negeri SG4, sambil menegaskan kerajaan tidak melihat mana-mana negeri sebagai pihak yang perlu dipinggirkan.

Malah, beliau berkata perbelanjaan pembangunan kerajaan Persekutuan bagi empat negeri berkenaan adalah 6.8 kali lebih tinggi berbanding peruntukan pembangunan yang disediakan oleh kerajaan negeri masing-masing.

“Maka sebab itu telahan yang mengatakan seolah-olah kerajaan Persekutuan cuba menganaktirikan, mengenepikan pembangunan ini bagi saya tidak ada asas sama sekali,” katanya.

Beliau turut mengingatkan semua pihak supaya mengemukakan kenyataan berdasarkan perbandingan yang adil ketika membahaskan isu pembangunan negeri.

Perdebatan itu memperlihatkan bagaimana angka peruntukan boleh memberikan gambaran berbeza jika tidak disertakan jumlah projek, kos pelaksanaan dan bentuk tanggungan pembangunan yang ditanggung kerajaan Persekutuan.

BACA JUGA Dah menang dapat jawatan, tak buat kerja” – Tular calon BN-MIC kena ‘sound’ penduduk Gadek?