“Dah menang dapat jawatan, tak buat kerja” – Tular calon BN-MIC kena ‘sound’ penduduk Gadek?
Isu khidmat wakil rakyat yang hanya kelihatan ketika musim pilihan raya kembali menjadi perhatian apabila satu rakaman pertemuan calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gadek dengan penduduk tular di media sosial.
Rakaman yang dikongsikan laman Oh Malaysiaku itu memaparkan seorang penduduk meluahkan rasa tidak puas hati terhadap wakil rakyat, termasuk mempersoalkan prestasi khidmat selepas seseorang calon memenangi pilihan raya dan memperoleh jawatan.
Ungkapan, “Dah menang dapat jawatan tak buat kerja,” menjadi perhatian pengguna media sosial kerana menyentuh persoalan asas dalam demokrasi, iaitu tanggungjawab wakil rakyat selepas diberikan mandat oleh pengundi.
Situasi itu turut menghidupkan semula perdebatan mengenai sejauh mana calon pilihan raya benar-benar memahami masalah penduduk dan bukannya sekadar mendekati mereka ketika kempen berlangsung.
Menariknya, isu yang dibangkitkan penduduk itu turut mempunyai persamaan dengan laporan Astro Awani pada 2 November lalu yang memetik harapan pengundi Gadek supaya wakil rakyat tidak hanya muncul ketika musim pilihan raya, sebaliknya terus menyantuni masyarakat selepas diberikan mandat.
Laporan berkenaan mengetengahkan persoalan pengundi mengenai pendekatan mesra rakyat yang dikatakan semakin sukar dilihat selepas seseorang calon memenangi pilihan raya.
Rakaman tular itu menjadi lebih menarik apabila calon BN-MIC, S. Nadarajah sebelum ini mempertahankan rekod khidmatnya dengan mendakwa sudah aktif mendekati penduduk Gadek sejak 2016.
Beliau berkata penglibatannya bermula ketika memegang jawatan Ketua Pemuda MIC Melaka, termasuk menganjurkan program kebajikan, belia dan aktiviti kemasyarakatan.
Nadarajah turut menegaskan dirinya bukan calon tangkap muat yang hanya turun padang apabila pilihan raya semakin hampir.
Namun, luahan penduduk dalam rakaman tersebut memperlihatkan satu perkara yang tidak boleh dipandang ringan oleh mana-mana parti politik, iaitu ukuran khidmat wakil rakyat bukan sekadar berdasarkan program yang dianjurkan, tetapi sejauh mana masalah penduduk diselesaikan.
Untuk rekod, Nadarajah merupakan calon BN yang mewakili MIC bagi kerusi N07 Gadek pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.
Beliau berdepan saingan tiga calon lain iaitu Jegan K daripada Pakatan Harapan (PH), B. Laveen daripada Parti Bersama Malaysia (Bersama) dan Laila Norinda Maon daripada Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra).
Pada PRN Melaka 2021, BN melalui calon MIC, Datuk VP Shanmugam memenangi kerusi berkenaan dengan majoriti 559 undi.
Gadek juga bukan kawasan yang boleh dianggap mudah buat BN memandangkan komposisi pengundinya terdiri daripada lebih 60 peratus Melayu, selain masyarakat Cina dan India.
Justeru, penerimaan penduduk terhadap calon serta kemampuan parti menjawab isu setempat bakal menjadi antara faktor penting dalam menentukan keputusan pilihan raya.
Apa yang jelas, rakaman tular berkenaan membawa satu mesej politik yang cukup besar: pengundi bukan sekadar mahu calon datang bersalaman, bergambar atau berjanji ketika kempen.
Mereka mahu wakil rakyat yang terus muncul selepas pilihan raya selesai.
Kerana bagi pengundi, mandat lima tahun bukan lesen untuk menghilangkan diri sehingga pilihan raya berikutnya.
BACA JUGA ‘Kansas tu macam Kelantan!’ – Kemenangan Demokrat selepas 94 tahun buat netizen teringat Pas