‘Dia buat tak Dajjal, orang lain buat jadi Dajjal’, Anwar tempelak Hadi isu CSA
Datuk Seri Anwar Ibrahim mempersoalkan pendirian Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang mengaitkan Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA) dengan pendekatan Dajjal, sedangkan cadangan persefahaman seumpama itu pernah dikemukakan Perikatan Nasional (PN) sendiri.
Perdana Menteri menyifatkan tindakan menggunakan istilah agama untuk menghukum pendirian politik pihak lain sebagai tidak wajar, lebih-lebih lagi apabila kenyataan tersebut datang daripada seorang tokoh agama.
“Jadi macam mana sekarang bila dia buat, tak Dajjal, bila orang buat jadi Dajjal… ini masalah dia,” katanya ketika mengulas kontroversi berkenaan.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Anugerah Tangan Emas Perdana Menteri 2026 di Dewan Canselor Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Ayer Keroh, hari ini.
Menurutnya, Hadi sebagai seorang yang mempunyai pengetahuan agama sepatutnya lebih berhati-hati ketika memberikan pandangan mengenai sesuatu perkara, khususnya yang melibatkan perbezaan politik.
“Tan Sri Hadi itu orang alim, sepatutnya kenyataan dia itu lebih terkawal,” katanya sambil menegaskan bahawa penggunaan label Dajjal terhadap sesuatu kumpulan atau pendirian politik adalah tidak sesuai.
Anwar turut mempersoalkan mengapa Pas kini mempertikaikan CSA sedangkan PN, yang turut dianggotai parti itu, pernah mengemukakan cadangan memorandum persefahaman ketika pentadbiran terdahulu.
Katanya, cadangan tersebut turut melibatkan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan bersama beberapa pemimpin politik lain sebelum memorandum persefahaman berkenaan dimeterai.
Dipermainkan
Menurut Perdana Menteri, draf yang digunakan ketika itu mempunyai prinsip sama, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai perbezaan pendirian Pas terhadap perjanjian politik tersebut.
“Saya tidak fikir agama boleh dipermainkan seperti itu,” tegas beliau ketika mengulas penggunaan istilah Dajjal dalam pertikaian berkenaan.
Kelmarin, Hadi menerusi siri Minda Presiden menyifatkan CSA sebagai satu pendekatan Dajjal kerana mendakwa perjanjian itu menjadikan kuasa sebagai alat untuk mempertahankan kedudukan, bukannya amanah kepada rakyat.
Artikel panjang Ahli Parlimen Marang bertajuk “Tempias Dajjal Sudah Tiba” itu mencetuskan bantahan beberapa pemimpin kerajaan yang mempersoalkan kewajaran penggunaan istilah keagamaan dalam perbahasan mengenai persefahaman politik.
Kenyataan melampau Presiden Pas itu susulan pemeteraian CSA antara kerajaan MADANI pada 29 Oktober lalu dengan 13 Ahli Parlimen, terdiri daripada enam wakil Bersatu, enam bekas wakil parti itu dan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Perjanjian itu antara lain menetapkan sokongan mereka terhadap pentadbiran kerajaan sehingga tamat penggal Parlimen semasa, termasuk kelulusan Belanjawan 2027 serta beberapa agenda reformasi institusi.
BACA JUGA OPR kekal 2.75 peratus, kali kelapan berturut-turut