‘Yang memekak kuasa Melayu pun berjubah’, kisah PM Anwar angkat martabat baju Melayu jadi bualan netizen
Kisah bagaimana satu ayat ringkas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengubah kebiasaan seorang lelaki untuk mengenakan baju Melayu setiap Jumaat mencuri perhatian netizen di media sosial.
Menerusi hantaran di Threads, pengguna akaun @arif3621 berkongsi pengalaman peribadinya bersama Anwar ketika mereka berada dalam sebuah lif hampir tiga tahun lalu.
Menurutnya, pertemuan singkat itu meninggalkan kesan mendalam apabila Anwar secara bersahaja menyuarakan sesuatu mengenai pemakaian orang Melayu pada hari Jumaat.
“Saya rasa macam saya seorang je orang Melayu kat sini,” katanya memetik kata-kata Anwar ketika pertemuan tersebut.
Arif berkata, ketika itu beliau mengenakan sut rasmi atau lounge suit, manakala Anwar tampil berbaju Melayu lengkap bersampin.
Apa yang menarik, Perdana Menteri dikatakan hanya mengeluarkan kata-kata tersebut sambil memperkemaskan sampinnya sendiri dan tersenyum memandang Arif.
Walaupun kedengaran ringkas, Arif mengakui kata-kata itu begitu mendalam sehingga mendorongnya mengubah kebiasaan berpakaian ketika hadir ke pejabat.
“Sejak itu, setiap kali hari Jumaat, aku pakai baju Melayu bila datang opis bang,” tulisnya.
Martabat budaya Melayu
Beliau turut menyifatkan tindakan Anwar sebagai contoh bagaimana seseorang pemimpin boleh memelihara dan mengangkat martabat budaya Melayu melalui penampilan sendiri.
“Nampak simple, tapi sebab PMX, banyak kali dah baju Melayu mendoniaaa,” katanya dalam hantaran berkenaan.
Perkongsian itu kemudian mengundang pelbagai reaksi netizen, termasuk seorang pengguna Threads, @amazingummi, yang mengaitkan pemakaian baju Melayu dengan polemik pihak tertentu yang sering bercakap mengenai kuasa Melayu.
“Setuju! Yang memekak kuasa Melayu pun berjubah sepanjang masa. Apa baju Melayu tidak melambangkan Islam ke?” soalnya.
Seorang lagi pengguna, @n.xycha, pula berpandangan kisah tersebut memperlihatkan sisi peribadi Anwar yang menurutnya tidak memerlukan propaganda berbayar untuk mendapat perhatian masyarakat.
Katanya, keperibadian dan akhlak Perdana Menteri sering menjadi bahan perkongsian individu yang pernah bekerja atau berurusan dengannya, termasuk rakyat biasa yang tersentuh dengan kebaikannya.
Sementara itu, pengguna @byzuera2 turut memberikan reaksi positif terhadap perkongsian Arif sambil berseloroh bahawa Anwar patut mencuba warna baju Melayu yang berbeza kerana sering dilihat mengenakan warna hampir sama.
Hantaran berkenaan turut menerima komentar ringkas seperti “Mantap!”, “Terbaik!” dan “Steady bang!” daripada pengguna lain yang menyambut baik perkongsian tersebut.
BACA JUGA Sanusi dan Trump: Dua negara berbeza, retorik perkauman yang hampir sama