Dulu KJ bertegas kata 1MDB bukan fitnah, kini kempen PRN Melaka pekik ‘sikit-sikit sakau’
Pendirian bekas Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar (KJ) berhubung skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang mempunyai kaitan dengan Datuk Seri Najib Razak kini dilihat sudah berubah.
Bekas Ahli Parlimen Rembau selama tiga penggal itu mempertahankan pelaksanaan tahanan rumah terhadap Najib ketika berkempen untuk Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Padahal, penyampai radio Hot FM berkenaan sebelum ini pernah menegaskan bahawa skandal 1MDB bukan sekadar persepsi atau fitnah politik, sebaliknya merupakan perkara serius yang perlu diterima sebagai kenyataan.
Bagaimanapun, KJ menjelang pembuangan undi 14 November ini mempersoalkan tindakan pihak yang sering membangkitkan isu penyelewengan.
“Sikit-sikit sakau, sikit-sikit sakau. Ini sakau apa?” pekiknya dalam satu klip video ceramah kempen BN di Melaka yang tersebar.
Begitu ketara
Perubahan pendirian KJ yang mempertahankan Najib itu dilihat begitu ketara memandangkan sebelum ini dia mengkritik keras isu berkaitan skandal 1MDB.
Dalam wawancara bersama Utusan Malaysia yang dilaporkan pada 18 November 2018, KJ secara terbuka menggesa ahli Umno menerima hakikat skandal 1MDB dan berhenti memberikan alasan untuk mempertahankannya.
“1MDB bukan satu persepsi atau fitnah tetapi merupakan satu kes yang terbukti di Amerika Syarikat, apa yang ada untuk disembunyikan? Hanya mengakuinya,” tegas beliau ketika itu.

Malah, KJ mengingatkan bahawa Umno dan BN akan terus menghadapi kesukaran untuk memulihkan keyakinan rakyat selagi pemimpin serta ahli parti enggan menerima kenyataan mengenai skandal kewangan berkenaan.
Beliau turut menyifatkan mereka yang terus memberikan alasan dan menafikan realiti skandal tersebut sebagai liabiliti besar kepada Umno, selain menolak hujah bahawa penggunaan sebahagian dana untuk tujuan kebajikan boleh menghapuskan kesalahan yang berlaku.
Pada 29 Jun 2018, KJ juga mengakui bahawa tindakannya menerima penjelasan mengenai 1MDB tanpa meneruskan persoalan merupakan antara penyesalan terbesar dalam hidupnya, khususnya selepas kekalahan BN pada Pilihan Raya Umum Ke-14.
Pendirian kritikal itu masih dapat dilihat pada Oktober 2024 apabila KJ menerusi audio siar Keluar Sekejap mempersoalkan penjelasan Najib bahawa bekas Perdana Menteri tersebut telah diperdaya oleh ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low.
KJ mendakwa beliau pernah menasihati Najib supaya mengambil tindakan terhadap Jho Low jika ahli perniagaan itu benar-benar bertanggungjawab terhadap skandal 1MDB, namun Najib ketika itu mempertahankannya sebagai seorang ahli perniagaan yang sah.
Beliau juga mempersoalkan tindakan Najib terhadap beberapa pemimpin kerajaan yang membangkitkan isu 1MDB, termasuk pemecatan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, yang menurutnya tidak konsisten dengan dakwaan bahawa Najib telah diperdaya.
Janji
Namun, ketika berucap pada ceramah umum BN di Seri Siantan, Pengkalan Batu pada 7 November lalu, KJ mengambil pendekatan berbeza dengan mempertahankan pelaksanaan pengampunan bersyarat yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman kes SRC International di rumah selepas menjelaskan denda RM50 juta.
KJ berhujah bahawa keputusan pengampunan tersebut merupakan suatu janji atau waad yang perlu dihormati, tanpa mengira sama ada seseorang bersetuju dengan tindakan Najib ketika skandal 1MDB berlaku.
Pada masa sama, beliau turut mempersoalkan penggunaan berulang istilah ‘sakau’ sambil menggesa perhatian diberikan kepada dakwaan penyelewengan lain, termasuk isu ‘mafia korporat’ yang pernah dibangkitkan bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli.
Untuk rekod, Mahkamah Tinggi pada 26 Disember 2025 mensabitkan Najib atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan kira-kira RM2.3 bilion dana 1MDB, dengan hukuman penjara 15 tahun yang kini sedang dirayu oleh bekas Perdana Menteri itu.
Pada 10 November lalu pula, Mahkamah Tinggi membenarkan Najib menjalani baki hukuman kes SRC International di kediamannya di Langgak Duta sehingga 23 Ogos 2028.
Najib kemudiannya dijadualkan kembali ke Penjara Kajang pada 24 Ogos 2028 untuk menjalani hukuman kes 1MDB tertakluk kepada sebarang perintah mahkamah yang berkuat kuasa.
BACA JUGA Lima amaran Allah terhadap tuduhan zina tanpa saksi, anak saudara isteri Hadi ingatkan pemimpin Pas