Akhirnya MB, 10 Exco Negeri Sembilan beralah, tarik balik surat iktiraf Tengku Nazarudin

Selepas kontroversi yang berlarutan mengenai kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Menteri Besar Datuk Seri Ismail Lasim bersama 10 anggota Exco kerajaan negeri akhirnya mengambil keputusan menarik balik kandungan surat yang dihantar kepada Raja-Raja Melayu pada 17 September lalu.

Langkah itu boleh dilihat sebagai perubahan pendirian kerajaan negeri dalam isu yang dikaitkan dengan pengiktirafan Tengku Nazarudin, walaupun surat terbaharu berkenaan tidak menyebut secara khusus nama beliau.

Melalui surat rasmi bertarikh 16 November 2026 kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad, Ismail memaklumkan keputusan menarik balik kandungan surat terdahulu dibuat secara sebulat suara.

Menariknya, bukan Menteri Besar seorang yang menandatangani surat itu. Kesemua 10 anggota Exco turut menurunkan tandatangan masing-masing sebagai tanda persetujuan bersama.

Maknanya, keputusan kali ini bukan dibuat secara individu, sebaliknya melibatkan keseluruhan barisan kepimpinan kerajaan negeri.

Dalam surat tersebut, Ismail menjelaskan keputusan berkenaan dibuat selepas mengambil kira kenyataan media Raja-Raja Melayu bertarikh 14 Oktober 2026 serta Perintah Mahkamah Tinggi Seremban pada 5 Jun 2026.

Perintah mahkamah itu mengekalkan status quo kedudukan Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Perkembangan ini sekali gus menimbulkan persoalan mengenai kedudukan surat asal bertarikh 17 September yang sebelum ini menjadi perhatian dalam pertikaian berkaitan institusi diraja Negeri Sembilan.

Apa pun, kerajaan negeri kini secara rasmi menyatakan komitmen untuk menjunjung Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 dan menghormati kewibawaan institusi diraja.

Ismail bersama barisan Exco turut menegaskan bahawa sebarang perbezaan perlu diselesaikan melalui saluran yang sah, berautoriti dan berwibawa, selain mengutamakan keharmonian negeri.

Surat tersebut juga meminta Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja menyembah maklum keputusan kolektif berkenaan kepada Raja-Raja Melayu.

Bagaimanapun, persoalan yang masih tinggal ialah apakah sebenarnya kandungan surat asal 17 September sehingga kerajaan negeri kini mengambil keputusan menarik baliknya secara bersama.

Setakat kandungan surat terbaharu yang diperoleh, kerajaan negeri tidak memperincikan perkara tersebut, termasuk sejauh mana penarikan balik itu berkaitan secara langsung dengan pengiktirafan Tengku Nazarudin.

Yang jelas, kerajaan negeri kini memilih untuk mengekalkan tertib pemerintahan beraja dan memastikan pentadbiran Negeri Sembilan terus berjalan dalam suasana aman serta teratur.

BACA JUGA Hadi benar-benar sebut “Sejahat-jahat pemerintah Islam tak sezalim bukan Islam”, bukan rekaan media