PRN Melaka: PH terima keputusan rakyat, prestasi dibawa ke Majlis Presiden untuk dibedah siasat
Pengerusi Pakatan Harapan(PH) Melaka, Adly Zahari berkata, keputusan pilihan raya itu akan dibawa ke mesyuarat Majlis Presiden bagi meneliti faktor yang menyumbang kepada prestasi gabungan berkenaan.
Menurutnya, PH menerima keputusan itu secara terbuka dan menghormati mandat yang diberikan rakyat Melaka.
“Pakatan Harapan menerima keputusan ini dengan terbuka dan memandang mandat yang diberikan oleh rakyat negeri Melaka.
“Kita juga menerima keputusan ini sebagai tanggungjawab demokrasi dan asbab untuk memperkukuhkan lagi usaha serta gerak kerja kami pada masa hadapan,” katanya dalam sidang media selepas keputusan PRN Melaka diumumkan.
PH memenangi empat kerusi iaitu Kota Laksamana, Kesidang, Ayer Keroh dan Bandar Hilir daripada keseluruhan 24 kerusi yang ditandingi.
Adly berkata, penilaian terhadap keputusan pilihan raya itu akan mengambil kira pelbagai faktor, termasuk manifesto, perancangan serta aspirasi yang dibawa PH sepanjang kempen.
“Kalau kita melihat politik berdasarkan apa yang kita bawa, berdasarkan rancangan, manifesto dan aspirasi, semua itu akan kita nilai secara keseluruhan.
“Kita tahu pilihan raya ini mempunyai pelbagai faktor dan apabila mandat sudah diberikan, semua faktor itu akan kita lihat,” katanya.
Mengulas keputusan Dun Bukit Katil yang ditandinginya, beliau sudah menjangkakan dari awal.
“Memang kita tahu daripada awal, di atas kertas ketinggalan sekitar 5,000 hingga 6,000 undi dan ia diterjemahkan dalam bentuk keputusan pilihan raya.
“Saya menghormati keputusan rakyat negeri Melaka kerana mereka mempunyai pilihan sendiri,” katanya.
Beliau turut mengakui tidak terkejut dengan keputusan berkenaan kerana menyedari kedudukan parti yang agak jauh ketinggalan sebelum kempen berakhir.
“Saya tidak terkejut kerana saya tahu daripada awal kedudukan saya agak jauh di belakang. Jadi saya cubalah kejar dalam tempoh 14 hari, tetapi tidak sempat kejar,” katanya.
Dalam pada itu, Adly berkata PH akan mengambil iktibar daripada keputusan PRN Melaka sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) yang dijangka berlangsung dalam tempoh setahun.
Menurutnya, gabungan itu perlu berusaha memperbaiki prestasi dan membina semula keyakinan masyarakat terhadap tawaran politik yang dibawa.
Beliau turut mengakui terdapat kecenderungan tertentu dalam kalangan generasi muda yang perlu diberikan perhatian dalam analisis selepas pilihan raya.
Bagaimanapun, katanya, penilaian khusus masih belum dilakukan dan semua faktor akan diteliti sebelum sebarang keputusan atau langkah susulan ditentukan.
Adly pada masa sama merakamkan penghargaan kepada rakyat Melaka yang menunaikan tanggungjawab demokrasi, selain petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), anggota keselamatan, media serta ejen tempat mengundi dan pengiraan undi.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada semua calon yang dipilih dan mengingatkan bahawa amanah selepas pilihan raya adalah untuk berkhidmat kepada seluruh penduduk tanpa mengira fahaman politik.
“Apabila wakil rakyat sudah dipilih, amanah mereka ialah berkhidmat kepada seluruh penduduk di kawasan masing-masing tanpa mengira fahaman politik,” katanya.
BACA JUGA 10 tahun tunggu, 647 keluarga Sri Pahang akhirnya selangkah ke rumah baharu!