BN-PN menang di Melaka bukan alasan desak Anwar bubar Parlimen
Kemenangan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bukan alasan untuk mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membubarkan Parlimen lebih awal bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menegaskan bahawa kerajaan Persekutuan ketika ini masih mempunyai tempoh pentadbiran yang belum berakhir, selain Anwar terus mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen.
Beliau yang juga Menteri Kesihatan berkata, Perdana Menteri mempunyai pertimbangan sendiri dalam menentukan masa paling sesuai untuk pembubaran Parlimen.
Justeru, ujarnya, Perdana Menteri tidak harus didesak membuat keputusan secara mengejut hanya kerana keputusan sebuah pilihan raya negeri.
“Saya ingat kita tunggu. Sesi Parlimen ini ada waktunya. Jadi, tidak ada tekanan untuk membuat apa-apa pembubaran secara mengejut.
“Seharusnya tunggu sehingga habis penggal (pembubaran Parlimen) kecuali jika ada sesuatu perkara yang drastik dan sebagainya,” katanya.
Dr Dzulkefly berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Wanita Muda AMANAH (WARDA) Nasional 2026 di Klana Resort, di Seremban, hari ini.
Terdahulu, pemimpin Umno dan Pas mendesak supaya PRU16 disegerakan susulan keputusan PRN Melaka semalam.
Mengganggu kestabilan
Mengulas lanjut, Dr Dzulkefly menegaskan bahawa menang atau kalah dalam pilihan raya merupakan perkara biasa dalam sistem demokrasi dan tidak wajar dijadikan alasan untuk mengganggu kestabilan pentadbiran negara.
Sebaliknya, Ahli Parlimen Kuala Selangor itu mahu Kerajaan Perpaduan diberikan ruang meneruskan usaha pemulihan dan pembangunan ekonomi supaya rakyat dapat menikmati hasil daripada dasar yang sedang dilaksanakan.
“Kita harus beri keutamaan kepada momentum perkembangan ekonomi yang sangat baik dikecapi rakyat hari ini,” katanya.
Menurutnya, pelbagai petunjuk ekonomi termasuk pelaburan asing dan peningkatan pendapatan rakyat menunjukkan perkembangan positif hasil usaha kepimpinan Kerajaan Perpaduan yang diterajui Anwar.
Meskipun mengakui pembangkang sering membangkitkan tekanan kos sara hidup yang ditanggung rakyat, beliau berpendapat perkembangan ekonomi negara turut mendapat pengiktirafan daripada badan penilaian antarabangsa.
Beliau turut merujuk peningkatan kedudukan Malaysia dalam penilaian daya saing ekonomi antarabangsa sebagai antara pencapaian yang menurutnya wajar dipertahankan melalui kesinambungan dasar dan kestabilan politik.
Tegasnya, rakyat harus diberikan peluang terlebih dahulu untuk menikmati ‘dividen’ daripada usaha kerajaan sebelum sebarang pertimbangan dibuat untuk mengadakan pilihan raya umum lebih awal.
Oleh itu, ujarnya, sebarang tindakan yang boleh menggugat kestabilan politik, perkembangan ekonomi dan keharmonian negara dianggap tidak wajar ketika kerajaan sedang memberikan tumpuan kepada kesejahteraan rakyat.
“Kalah menang dalam pilihan raya perkara biasa kepada mana-mana parti politik dan selepas ini pun kita akan berhadapan dengan PRN Sarawak.
“Jadi, buat masa ini keutamaan perlu diberikan isu ekonomi dan kesejahteraan rakyat,” katanya.
Keputusan rasmi PRN Melaka semalam menyaksikan BN mengekalkan penguasaan 21 kerusi DUN, PN memperoleh tiga kerusi dan PH empat kerusi, sekali gus membolehkan kerjasama BN-PN membentuk kerajaan negeri dengan majoriti dua pertiga.
BACA JUGA Selepas keputusan PRN Melaka, AMANAH gesa PH berani tentukan siapa kawan dan siapa lawan