Rakyat kecewa dengan keringanan hukuman Najib, Pejuang tuntut keadilan untuk semua
Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir menyuarakan kekecewaan yang dirasai rakyat susulan keringanan hukuman terhadap Datuk Seri Najib Razak.
Beliau menegaskan bahawa keadilan mesti dilaksanakan tanpa mengira kedudukan, kekayaan atau pengaruh seseorang.
Menurutnya, isu melibatkan bekas Pengerusi Barisan Nasioal (BN) itu turut menimbulkan persoalan mengenai prinsip kesamarataan di sisi undang-undang, khususnya apabila rakyat mahu melihat setiap individu menerima layanan yang adil tanpa sebarang keistimewaan.
“Kita dihujani dengan berita berkenaan dengan keringanan hukuman ke atas Datuk Seri Najib Razak dan ini sebenarnya menimbulkan kekecewaan yang terlalu tinggi dalam kalangan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Ucapan Dasar Presiden pada Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Pejuang kali keempat di Shah Alam, hari ini.
Mukhriz berkata, pelbagai skandal melibatkan pemimpin politik sebelum ini telah menjejaskan imej politik negara sehingga ahli politik yang ikhlas dan berintegriti turut menerima kesan daripada persepsi negatif masyarakat.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan pemimpin politik supaya tidak mengharapkan kepercayaan rakyat sekiranya mereka sendiri gagal menunjukkan teladan dalam menjaga amanah dan menghormati undang-undang.
“Jangan kita meminta rakyat mempercayai kita jika kita sendiri tidak menjaga amanah. Jangan bercakap tentang keadilan jika kita sendiri tidak berlaku adil.
“Dan jangan meminta rakyat menghormati undang-undang jika kita sendiri tidak menghormatinya,” tegas beliau.
Terlalu kaya
Anak Tun Dr Mahathir Mohamad itu berkata, prinsip kedaulatan undang-undang perlu dipertahankan bagi memastikan kekayaan, pengaruh politik atau kedudukan seseorang tidak menentukan layanan yang diterimanya dalam sistem keadilan negara.
“Rakyat mahu melihat bahawa kedudukan, kekayaan dan pengaruh seseorang tidak menentukan layanan yang diterimanya.
“Tiada siapa yang terlalu berkuasa untuk dipersoalkan, terlalu kaya untuk dipertanggungjawabkan atau terlalu berpengaruh untuk berada di atas undang-undang,” tegasnya.
Beliau turut menegaskan bahawa institusi penguatkuasaan mesti dihormati dan kebebasan badan kehakiman perlu dipelihara bagi memastikan keyakinan masyarakat terhadap sistem keadilan tidak terus terhakis.
Dalam masa sama, Mukhriz mengakui wujud suara dalam masyarakat yang membawa ungkapan ‘biar rakyat jaga rakyat’, sekali gus menggambarkan kekecewaan serta kehilangan kepercayaan terhadap kepimpinan politik.
Katanya, perkembangan tersebut tidak boleh dianggap sebagai perkara biasa kerana ia mencerminkan cabaran besar yang perlu ditangani oleh parti politik untuk memulihkan keyakinan rakyat.
Beliau berkata, penyelesaian kepada masalah itu bukan sekadar memperbanyak slogan atau janji, sebaliknya memerlukan tindakan nyata, dasar yang memberikan manfaat serta pentadbiran bersih dan bertanggungjawab.
BACA JUGA BN-PN menang di Melaka bukan alasan desak Anwar bubar Parlimen