Ummi Umairah yang pernah kritik derma Najib kini persoal amalan kronisme dalam kalangan mahasiswa
Aktivis mahasiswa Universiti Malaya (UM), Ummi Umairah Mohammad Bakhit, yang sebelum ini menjadi perhatian selepas mengkritik kutipan derma untuk bekas Perdana Menteri Najib Razak, kini membangkitkan kebimbangan terhadap budaya kronisme dalam institusi pengajian tinggi.
Ummi, 23, merupakan pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Ekonomi UM yang aktif dalam kepimpinan mahasiswa dan pernah menjadi wakil Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya.
Beliau menjadi perhatian nasional pada Oktober lalu selepas mempersoalkan tindakan orang ramai mengumpul derma bagi membantu Najib membayar denda RM50 juta ketika menyertai forum International Young Future Leaders Summit (iFUTURE 2026).
Kenyataan tersebut mencetuskan perdebatan awam mengenai integriti, rasuah dan hak mahasiswa menyuarakan pandangan terhadap isu kepentingan negara.
Ummi kemudian mendakwa menerima ugutan serta gangguan susulan kenyataannya, manakala beberapa pemimpin kerajaan tampil mempertahankan hak beliau untuk bersuara.
Integriti mahasiswa
Dalam satu wawancara sebelum ini, beliau turut menjelaskan tidak berhasrat menyertai politik kepartian buat masa sekarang, sebaliknya bercita-cita membina kerjaya dalam bidang dasar awam.
Menerusi tulisan terbaharu di Instagram, Ummi mengalihkan perhatian kepada persoalan integriti dalam kalangan mahasiswa sendiri.
Beliau mendakwa wujud amalan pilih kasih dalam pemberian jawatan serta kemudahan kolej kediaman yang tidak semestinya berdasarkan kelayakan dan penilaian merit.
Menurutnya, amalan sedemikian boleh membentuk budaya kronisme yang lebih besar apabila mahasiswa memasuki alam pekerjaan dan memegang tanggungjawab kepimpinan.
Ummi turut mempersoalkan keberkesanan Kursus Integriti dan Anti-Rasuah (KIAR) sekiranya nilai yang diajar tidak diterjemahkan melalui amalan sebenar dalam kehidupan kampus.
Beliau berpandangan bahawa pembentukan budaya berintegriti perlu bermula sejak di universiti melalui proses pemilihan yang telus, peluang yang adil serta penolakan terhadap amalan menggunakan hubungan peribadi untuk mendapatkan keistimewaan.
Selain itu, Ummi menyuarakan kebimbangan terhadap budaya berdiam diri dalam kalangan pensyarah, ahli akademik dan mahasiswa apabila berhadapan dengan amalan yang dianggap tidak wajar.
Beliau menggesa golongan intelektual supaya lebih berani bersuara dan mencabar amalan yang bertentangan dengan prinsip keadilan.
Pandangan terbaharu beliau memperluas perbahasan mengenai integriti daripada isu rasuah dalam kepimpinan negara kepada pembentukan nilai dan budaya tadbir urus dalam kalangan generasi muda.
BACA JUGA Berbeza parti bukan penghalang, Dr Dzulkefly ziarah Shahidan di IJN sambil serah jawapan Parlimen