Dari Umno lawan Istana, kini Umno lawan Umno – Zahid mahu tukar Ismail?
Kemelut politik Negeri Sembilan yang pada mulanya dilihat sebagai pertembungan antara Umno dengan Istana kini bertukar menjadi persoalan perebutan kuasa dalam parti itu sendiri apabila kepimpinan tertinggi Umno didakwa masih mahu menukar Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim, meskipun kedudukannya dikatakan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Besar.
Persoalan itu dibangkitkan Profesor Dr Tajuddin Rasdi menerusi ruangan FMT Opinion bertajuk Negeri Sembilan Crisis: From Chaos to Utter Havoc yang diterbitkan Free Malaysia Today (FMT), ketika krisis politik negeri itu masih belum menemui penyelesaian.
Menurut Tajuddin, kebuntuan yang pada awalnya berpunca daripada ketiadaan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) dan ketidakupayaan mengadakan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) kini semakin rumit apabila nama calon Menteri Besar baharu dikemukakan kepada Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sedangkan Ismail masih menjalankan tugasnya.
Beliau mendakwa berdasarkan pemahamannya, dalam pertemuan antara Ismail dengan Tuanku Muhriz sebelum itu, Yang di-Pertuan Besar telah membenarkan Ismail meneruskan tugas sebagai Menteri Besar. Justeru, beliau mempersoalkan mengapa Umno masih mengemukakan calon lain untuk pertimbangan Istana.
Tajuddin turut membangkitkan kemungkinan Negeri Sembilan berdepan keadaan luar biasa sekiranya Ismail terus menjalankan tugas sebagai Menteri Besar, sedangkan calon baharu yang dicadangkan Umno turut dipertimbangkan untuk mengisi jawatan sama.
Bagaimanapun, pengumuman Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir pada 16 November bahawa Ismail meletakkan jawatan mencetuskan persoalan baharu apabila Istana Negeri Sembilan memaklumkan belum mengesahkan ketulenan surat berkenaan. Istana turut menjelaskan peletakan jawatan Menteri Besar hanya berkuat kuasa selepas mendapat perkenan Tuanku Muhriz.
Kenyataan Istana pada 17 November turut mendedahkan bahawa surat berkenaan dihantar pada jam 12.16 tengah malam oleh seorang individu bernama Hamidi yang memperkenalkan dirinya sebagai wakil firma guaman Shahrul Hamidi & Haziq.
Lebih menarik, perkenan untuk Ismail menghadap Tuanku Muhriz telah disampaikan melalui WhatsApp pada jam 8.38 malam, iaitu 80 minit sebelum pengumuman Zambry dibuat di Facebook.
Tajuddin juga menyentuh tindakan Ismail menarik balik surat yang dikaitkan dengan usaha melucutkan kedudukan Tuanku Muhriz sebagai pemerintah negeri, selain penarikan tindakan undang-undang oleh 10 Exco yang sebelum ini terlibat dalam kemelut berkenaan.
Beliau melihat perkembangan itu sebagai langkah awal untuk meredakan ketegangan dan membuka ruang penyelesaian.
Namun, pengumuman peletakan jawatan Ismail dan tindakan Umno mengemukakan calon pengganti menyebabkan beliau mempersoalkan hala tuju sebenar kepimpinan parti itu. Menurutnya, apa yang pada mulanya kelihatan seperti pertentangan Umno dengan Istana kini berubah menjadi perebutan kuasa dalam Umno sendiri.
Beliau secara khusus mempersoalkan mengapa Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, begitu bertekad menggantikan Ismail sedangkan Menteri Besar itu, menurut pemahamannya, telah mendapat keizinan Istana untuk terus berkhidmat. Zahid sebelum ini mengesahkan hanya satu nama calon baharu dikemukakan kepada Tuanku Muhriz untuk pertimbangan.
Tajuddin berkata, kedua-dua Ismail dan Zahid sebelum ini menyatakan hasrat untuk menyelesaikan kemelut berkenaan supaya kerajaan negeri dapat kembali mentadbir tanpa pertikaian politik yang berpanjangan.
Beliau menyatakan sokongan terhadap usaha tersebut, namun berpandangan sebarang langkah seterusnya perlu mengambil kira kedudukan Istana dan kepentingan rakyat.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya sebarang usaha mengubah kepimpinan kerajaan negeri ditangguhkan sekurang-kurangnya setahun atau dua tahun bagi memberi ruang kepada semua pihak meredakan ketegangan politik.
Menurutnya, keutamaan ketika ini ialah memastikan kemelut politik Negeri Sembilan diselesaikan segera supaya pentadbiran kerajaan negeri dapat kembali berjalan seperti biasa tanpa dibebani pertikaian berpanjangan antara kepimpinan Umno dengan Istana serta sesama pemimpin parti itu.
BACA JUGA Barisan Exco Melaka berubah, Ab Rauf hapus jawatan kanan, Speaker pula masih teka-teki