Gelombang Biru bakal berdepan tembok, perebutan kerusi topik sensitif meranapkan kerjasama
Gelombang kemenangan yang menyaksikan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) memperoleh kelebihan dalam landskap politik Melaka mungkin tidak mudah diterjemahkan menjadi kemenangan lebih besar pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), namun keadaan itu juga boleh menjadi mimpi buruk buat Pakatan Harapan (PH) sekiranya kedua-dua blok tersebut berjaya mengekalkan kerjasama.
Penganalisis politik, Dr Azmi Hassan berpandangan, cabaran terbesar PH bukan semata-mata berkaitan prestasi kerajaan atau kelemahan kempen, sebaliknya kemampuan BN dan PN membentuk kerjasama politik yang mampu mengurangkan persaingan sesama mereka, sekali gus menyukarkan PH menembusi kawasan majoriti Melayu.
Menurutnya, PH perlu mencari strategi untuk meretakkan hubungan antara BN dan PN jika mahu membuka semula ruang persaingan yang lebih menguntungkan gabungan itu menjelang PRU16.
Selagi BN dan PN mampu bergerak dalam satu pakatan yang tersusun, PH berdepan kesukaran untuk mendapatkan semula sokongan pengundi Melayu, khususnya di kawasan yang selama ini menjadi medan persaingan antara Umno dan Pas.
Bagaimanapun menurut Dr Azmi seperti dilapor portal Malaysiakini, kerjasama BN dan PN bukan semestinya berjalan lancar sehingga PRU16, terutama apabila kedua-dua gabungan itu perlu menentukan siapa yang akan bertanding di kawasan tertentu.
Perebutan kerusi Parlimen dijangka menjadi titik paling sensitif kerana BN dan PN mempunyai kawasan pengaruh masing-masing, malah terdapat kerusi yang kedua-duanya berpotensi mendakwa mempunyai peluang terbaik untuk menang.
Jika rundingan pembahagian kerusi gagal mencapai kesepakatan, kerjasama yang kelihatan kukuh pada peringkat kepimpinan boleh berdepan masalah apabila memasuki gelanggang pilihan raya.
Situasi itu membuka peluang kepada PH untuk mengambil kesempatan, sama ada melalui pertandingan tiga penjuru, perpecahan undi atau rundingan politik yang membolehkan gabungan itu memperoleh kelebihan di kawasan tertentu.
Namun, peluang tersebut tidak akan datang secara automatik. PH perlu membaca peta politik dengan lebih teliti, mengenal pasti kawasan yang menjadi pertindihan kepentingan BN dan PN serta menentukan strategi yang mampu memanfaatkan konflik dalaman kedua-dua gabungan itu.
BACA JUGA Berbeza parti bukan penghalang, Dr Dzulkefly ziarah Shahidan di IJN sambil serah jawapan Parlimen