Selepas MP DAP, pemimpin PKR pula tegur Poay Tiong, gesa mohon maaf isu solat Jumaat

Selepas Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman menyuarakan teguran berhubung isu solat Jumaat di Terengganu, pemimpin PKR pula tampil menegur Pengerusi DAP Melaka, Khoo Poay Tiong, malah mendesaknya menarik balik kenyataan dan memohon maaf.

Pemangku Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Melaka, Adam Adli Abd Halim menegaskan beliau tidak bersetuju dengan kenyataan Poay Tiong yang mempersoalkan arahan penutupan sementara premis perniagaan ketika solat Jumaat di Kuala Terengganu.

Adam Adli yang juga Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi berkata, Poay Tiong sepatutnya menghormati kedaulatan undang-undang negeri serta sensitiviti beragama sebelum mengulas perkara berkenaan.

“Saya tidak boleh bersetuju dengan kenyataan ini. Saya nasihatkan YB Khoo agar menghormati kedaulatan undang-undang di negeri masing-masing, serta sensitiviti beragama dalam mengulas perkara ini,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurut Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya itu, arahan berkenaan merupakan urusan pentadbiran negeri yang mempunyai asas perundangan melalui enakmen negeri, selaras dengan pengiktirafan bidang kuasa negeri dalam Perlembagaan Persekutuan.

Beliau menjelaskan, walaupun terdapat perbezaan pandangan mengenai sesuatu undang-undang, mandat rakyat Terengganu kepada badan perundangan dan eksekutif negeri tetap perlu dihormati.

“Dalam konteks Negeri Terengganu, ia adalah mandat yang diberikan rakyat negeri itu kepada Legislatif dan Eksekutif mereka untuk menggubalnya.

“Maka kita wajib hormati mandat tersebut seperti mana kita mahu orang hormati mandat yang diberi kepada kita,” tegasnya.

Tuntutan agama

Adam Adli turut mengingatkan bahawa lelaki Islam diwajibkan menunaikan solat Jumaat dan dituntut meninggalkan urusan jual beli apabila tiba waktunya, sebagaimana dinyatakan dalam Surah al-Jumu’ah, ayat 9.

Jelasnya, kewajipan itu bukan sekadar amalan budaya atau adat, sebaliknya tuntutan agama yang berkait secara langsung dengan pelaksanaan ibadah serta kehidupan masyarakat Islam setempat.

“Kita boleh berbeza pandangan tentang sesuatu dasar, tetapi perbahasan mengenainya mestilah berasaskan kefahaman terhadap undang-undang, tuntutan agama dan sensitiviti masyarakat,” katanya.

Sehubungan itu, Adam Adli meminta Poay Tiong menarik semula kenyataan berkenaan dan membuat permohonan maaf, sambil menegaskan sikap saling menghormati mesti menjadi asas kehidupan masyarakat majmuk di Malaysia.

Terdahulu, Young Syefura menerusi hantaran di Threads turut mengingatkan supaya pihak yang mahu mencampuri urusan Melayu dan Islam serta pentadbiran negeri lain lebih bijak membaca keadaan kerana tindakan sedemikian boleh menyebabkan masyarakat semakin menjauh.

“Hal Melayu Islam nak dicampuri, urusan negeri orang pun nak diatur. Pandai-pandailah baca keadaan,” katanya dalam hantaran yang dibuat susulan kontroversi kenyataan Poay Tiong.

Kontroversi itu tercetus apabila Poay Tiong membangkitkan kebimbangan bahawa arahan penutupan premis perniagaan antara jam 12.30 tengah hari hingga 2.30 petang setiap Jumaat boleh menjejaskan kebebasan berniaga dan operasi peniaga bukan Islam.

Bagaimanapun, Poay Tiong dalam penjelasan lanjut menegaskan beliau tidak mempertikaikan kewajipan solat Jumaat, sebaliknya mempersoalkan pelaksanaan arahan yang menurutnya turut melibatkan premis bukan Islam.

Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) sebelum ini menjelaskan pada Januari 2024 bahawa premis makanan milik bukan Islam dibenarkan beroperasi seperti biasa, kecuali yang mempunyai pekerja Islam, manakala kelonggaran tertentu boleh dipohon bagi premis yang diuruskan pekerja wanita.

BACA JUGA Pemimpin DAP sendiri tegur rakan separti isu tutup kedai waktu solat Jumaat, jangan sampai rakyat menjauh