Zahid tak percaya Pas? Umno mahu kekal dominan?

Kenyataan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa BN tidak pernah merancang melanjutkan kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) untuk PRU16 boleh dibaca lebih daripada sekadar keputusan politik.

Sebaliknya memberi gambaran Umno masih tidak benar-benar percaya kepada Pas dan mahu memastikan parti itu tidak terikat dengan gabungan yang boleh menghakis dominasi mereka.

Pendirian itu memperlihatkan kemungkinan Umno mahu mengekalkan kebebasan menentukan langkah politik sendiri, termasuk mengelak daripada terlalu bergantung kepada Pas, walaupun realiti kekuatan politik semasa mungkin belum membolehkan parti itu bergerak sendirian dengan selesa.

Dalam konteks itu, gambaran ini dilakar wartawan senior Fathi Aris Omar sebelum ini mengenai hubungan Umno-Pas menjadi semakin relevan, khususnya peringatannya supaya Pas tidak membiarkan Umno kembali kuat sehingga parti itu tidak lagi memerlukan sokongan Pas.

Fathi melihat Umno pada dasarnya tidak selesa berada dalam kedudukan bergantung kepada Pas, sebaliknya mahu menjadi pihak dominan dalam sebarang kerjasama politik, dengan Pas berisiko hanya menjadi rakan yang diperlukan ketika Umno belum cukup kuat.

“Umno tidak suka bergayut dengan Pas. Umno masih mahu di atas,” tulis Fathi dalam analisisnya, merumuskan sikap politik Umno yang mahu kekal menguasai keadaan dan tidak mahu berkongsi kedudukan secara setara.

Kenyataan Zahid mengenai BN tidak merancang melanjutkan kerjasama dengan PN bagi PRU16, seperti dilaporkan New Straits Times, menguatkan persoalan sama ada Umno sejak awal melihat kerjasama dengan Pas sebagai sesuatu yang bersifat sementara dan bergantung kepada kepentingan politik semasa.

Jika Umno merasakan dirinya semakin kuat, parti itu mungkin tidak lagi melihat Pas sebagai keperluan, malah boleh mula menuntut lebih banyak kerusi dan ruang dominasi dalam rundingan politik, sesuatu yang Fathi sudah ingatkan dalam tulisannya.

Atas sebab itu, Fathi mengingatkan Pas supaya tidak membenarkan Umno kembali terlalu kuat, sebaliknya terus mengekalkan tekanan terhadap parti berkenaan, terutama isu rasuah dan 1MDB yang pernah menjadi antara senjata utama dalam kempen politik menentang BN.

Beliau turut mengkritik pendekatan yang cuba melunakkan isu rasuah dan 1MDB atas alasan kepentingan politik, kerana tindakan itu boleh memberikan keuntungan kepada Umno sedangkan Pas mungkin kehilangan identiti serta kelebihan yang dibina ketika menyerang parti tersebut.

“Jadi kena cerdiklah, jangan pergi cuci punggung Umno pulak,” tulis Fathi, menyindir kemungkinan Pas terlalu menjaga Umno sehingga akhirnya membantu parti itu memulihkan kekuatan tanpa memperoleh pulangan politik yang setimpal.

Fathi mengimbas PRU15 pada 2022 ketika isu 1MDB dan rasuah digunakan secara agresif oleh PH serta PN untuk menyerang Umno, termasuk slogan PN Best yang membawa mesej Bersih, sebagai sebahagian daripada strategi melemahkan pengaruh parti itu ketika kempen.

Beliau berpandangan pertandingan tiga penjuru pada 2018 dan 2022 turut memberi kelebihan kepada PH apabila perpecahan undi antara blok politik membuka ruang kemenangan, berbanding kemungkinan BN dan Pas bergabung dalam pertandingan satu lawan satu.

Pada 2018, PH mempunyai sekutu Melayu melalui Pas sebelum perpecahan serta Bersatu yang dipimpin Tun Dr Mahathir Mohamad, manakala pada 2022 PH bertanding tanpa sekutu Melayu seperti sebelumnya tetapi masih memperoleh 82 kerusi, dalam keputusan BN mendapat 30, PN 74, GPS 23 dan GRS enam kerusi.

Fathi mengingatkan jika BN dan Pas menyusun strategi satu lawan satu sejak awal, sebahagian kerusi yang dimenangi PH melalui pertandingan berbilang penjuru mungkin tidak dapat dicapai, sekali gus menunjukkan bagaimana perubahan strategi gabungan boleh mengubah peluang untuk menguasai Putrajaya.

Dalam keadaan Umno kini memberi isyarat tidak merancang melanjutkan kerjasama PN bagi PRU16, persoalan yang ditinggalkan ialah sejauh mana Pas boleh mempercayai Umno, sedangkan parti itu mungkin mahu memanfaatkan kekuatan Pas ketika diperlukan tetapi memilih haluan sendiri apabila merasakan kedudukannya sudah cukup kukuh.

BACA JUGA Ummi Umairah yang pernah kritik derma Najib kini persoal amalan kronisme dalam kalangan mahasiswa