Hentikan amalan ‘sakau’ dana negara, berpuluh bilion ringgit dapat dikembalikan kepada rakyat – Anwar
Ketegasan kerajaan MADANI memperketat tatakelola pentadbiran, membanteras rasuah dan memperkukuh ketelusan dalam perolehan kerajaan membolehkan berpuluh bilion ringgit dana negara diselamatkan, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata penjimatan itu memberikan ruang kewangan kepada kerajaan untuk meningkatkan peruntukan bagi kebajikan rakyat, termasuk bantuan tunai, kenaikan gaji penjawat awam serta mengekalkan subsidi bahan api.
Menurutnya, amalan pemberian kontrak yang tidak telus serta pembayaran komisen berlebihan kepada pihak tertentu perlu dihentikan bagi memastikan wang negara tidak terus mengalami ketirisan.
“Dia tak tahu kita selamatkan berpuluh bilion ringgit kerana tatakelola yang lebih ketat,” katanya.
Anwar berkata demikian dalam program Dialog Negara Khas bertemakan ‘Di Sebalik Keputusan’ terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM) di Angkasapuri, malam tadi.
Perdana Menteri turut membangkitkan kepentingan pelaksanaan tender bagi mengelakkan amalan penyelewengan dalam pemberian kontrak kerajaan.
“Dia mesti (ada) tender. Wang ini kita pulangkan pada rakyat,” katanya.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata usaha membendung ketirisan membolehkan kerajaan menyediakan peruntukan RM16 bilion bagi Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA), selain tambahan RM18 bilion bagi pelarasan gaji penjawat awam.
Kerajaan turut menyediakan sekitar RM40 bilion bagi subsidi bahan api untuk melindungi rakyat daripada kesan kenaikan harga petroleum.
Kurangkan peranan ejen dan komisen
Dalam aspek perolehan aset pertahanan negara, kerajaan turut memberikan penekanan terhadap pendekatan kerajaan kepada kerajaan (G2G) bagi mengurangkan kebergantungan kepada ejen dan orang tengah.
Anwar sebelum ini menjelaskan bahawa pendekatan berkenaan membolehkan kerajaan berunding secara langsung dengan negara pengeluar aset pertahanan, sekali gus mengurangkan kos pembayaran komisen.
“Tak payah komisen kepada ejen-ejen Tan Sri-Tan Sri, Datuk-Datuk ini kerana kita tak mampu bayar terlalu banyak kepada ejen,” katanya.
Menurut Anwar, ketegasan kerajaan dalam memperbaiki tatakelola turut berdepan tentangan daripada pihak yang sebelum ini mendapat manfaat daripada kelemahan sistem perolehan negara.
Bagaimanapun, beliau menegaskan usaha membanteras rasuah perlu diteruskan tanpa menjadikan populariti sebagai pertimbangan utama dalam membuat keputusan.
“Rasuah bagi saya dalam negara ini sudah sistemik. Saya warisi keadaan yang sistemik,” katanya dalam dialog berkenaan.
Penjimatan menerusi penambahbaikan tatakelola itu, menurut Anwar, turut memberikan ruang kepada kerajaan untuk meningkatkan perbelanjaan bagi sektor pendidikan, kesihatan dan kebajikan rakyat.
BACA JUGA AMANAH takut ‘ditelan’ Bersatu? Faiz jawab: ‘Pasaran’ sama, perjuangan berbeza!