Khabar gembira buat keluarga Nor Aiqal
Sayu dengan khabar duka yang diterima, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ampangan, Datuk Dr Mohammad Rafie Abd Malek menyantuni keluarga Allahyarham Nor Aiqal Syazmir yang terkorban akibat kemalangan jalan raya.
Menerusi perkongsian di laman Facebook Exco Pelaburan, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan itu, beliau bersama Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Negeri Sembilan memberi khabar gembira buat balu Allahyarham di Taman Negeri, Ampangan Negeri Sembilan, hari ini.
“Alhamdulillah, pada pagi tadi, Perkeso Negeri Sembilan mengambil tindakan segera menyerahkan sumbangan awal dan memaklumkan Pencen Penakat akan bermula untuk waris.
“Setelah syarikat tempat kerja arwah menyelesaikan semua urusan dokumentasi bersama Perkeso, waris arwah dijangka akan menerima pencen bulanan sekitar 90 peratus daripada gaji kerana arwah meninggal dunia dalam kategori perjalanan pergi balik kerja,” tulis Rafie dalam laman sosialnya.
Jelasnya, arwah meninggalkan seorang anak perempuan yang baru berusia lima bulan manakala isterinya merupakan suri rumah sepenuh masa.
“Insya-Allah, kita juga akan berusaha untuk membantu keluarga khususnya anak kecil ini,” katanya.
Nor Aiqal Syazmir Aziz, 27, meninggal dunia akibat nahas dua buah kenderaan di Kilometer 2, Jalan Kuala Pilah – Seremban pada 11 Mac lalu.
Allahyarham yang menunggang motosikal jenis Yamaha 15ZE terbabit dalam kemalangan, melibatkan sebuah kenderaan Proton X70 yang datang dari arah Kampung Talang menghala ke Seri Meranti.
Dalam masa sama, Rafiee pada 7 Januari lalu juga membantu Muhammad Syakawie Abdullah yang terpaksa berdikari dan tinggal sendirian di rumahnya selepas kehilangan bapa akibat serangan jantung.
Lebih menyayatkan hati, remaja yang berusia 16 tahun itu terpaksa berhenti belajar ketika di tingkatan tiga.
Rentetan itu, melalui usaha Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ampangan, nasib remaja tersebut lebih cerah apabila dapat menyambung semula pengajian di Kolej Yayasan Negeri Sembilan (KYNS) dalam bidang pastri.
BACA JUGA Sijil Audit Negara bukti keupayaan Negeri Sembilan di bawah Pakatan Harapan