Cadangan agihan kerusi 14-14: Selepas AMANAH, Pemuda PKR turut bidas Akmal

Pemuda PKR turut membidas Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh berhubung penegasannya yang menentang cadangan berkongsi kerusi bagi menghadapi pilihan raya negeri Melaka.

Pengarah Komunikasi AMK Haziq Azfar Ishak berkata sekiranya pendirian Akmal digunakan maka BN tidak layak mendapat kerusi tiga lebih banyak di dalam PRN Selangor berbanding keputusan BN peringkat DUN di dalam PRU-14.

“Lebih parah lagi, BN mungkin tidak layak menerima walau satu kerusi pun dalam agihan PRN Selangor dan Pulau Pinang yang lalu memandangkan tiada kerusi dimenangi mereka dalam kerusi Parlimen pada PRU15 di negeri-negeri tersebut jika mahu dinilai dengan prestasi pilihan raya terkini sekiranya formula Akmal Saleh diguna pakai,” katanya dalam satu kenyataan.

“Pendekatan keras dan bersifat dominasi seperti ini langsung tidak menambah nilai dalam mana-mana perbincangan politik, apatah lagi dalam usaha membina muafakat dalam Kerajaan Perpaduan,” tambahnya.

Cawangan-cawangan DAP telah bersetuju dengan resolusi 14-14 agar kerusi -kerusi di Melaka dikongsikan sesame Umno dan Pakatan Harapan.

Dua hari lalu, Akmal menolak dan memberitahu DAP untuk teruskan mimpi.

“Jika nak juga, kita bertanding di tempat yang sama. Mudah sahaja. Untuk beri kamu, tidak sama sekali, dan boleh teruskan bermimpi,” kata Akmal yang juga exco negeri Melaka.

Exco Pemuda AMANAH Fadhli Umar Aminolhuda turut menempelak Akmal dalam perkara ini.