Sekretariat Orang Melayu – apakah ia mempunyai asas untuk ditubuhkan?
Sekretariat Orang Melayu. Itulah gagasan terbaharu yang mendakwa mahu menyatukan dan memperjuangkan nasib orang Melayu.
Menurut pengasasnya Tun Dr Mahathir Mohamad ia NGO untuk mengembalikan kuasa politik dan mendepani cabaran yang dihadapi orang Melayu.
“Kita bersetuju untuk adakan satu gerakan yang dipanggil sebagai payung besar atau Sekretariat Orang Melayu.
“Ia bukan parti politik, tapi satu usaha untuk satukan semua gerakan yang memperjuangkan orang Melayu dalam satu kumpulan sahaja,” katanya dalam sidang akhbar, lapor media.
Beliau turut membidas dasar-dasar yang dijamin di bawah perlembagaan.
“Sekarang ini kita dapati dasar-dasar perlembagaan sudah diketepikan. Bahasa Melayu bukan lagi bahasa kebangsaan yang sebenar, kedudukan orang Melayu tidak lagi dilindungi seperti dahulu. Bahkan kita tidak dibenarkan bercakap soal Melayu, agama dan raja,” katanya.
Dr Mahathir turut mendakwa terlalu banyak kumpulan wujud untuk menyatukan Melayu hingga membawa perpecahan dan menggagalkan matlamat perjuangan.
Dr Mahathir turut mengadakan perbincangan berkenaan penubuhan sekretariat itu bersama-sama beberapa pemimpin antaranya pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin; Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.
Datuk Seri Hamzah Zainudin akan mengetuai usaha awal menggerakkan sekretariat tersebut.
Apakah dakwaan yang digunakan sebagai asas penubuhan itu benar?
Mahathir mendakwa Sekretariat Orang Melayu tapi rata-rata individu yang mengadakan perbincangan dengan adalah tokoh politik PN.
Sebelum Sekretariat Orang Melayu, sudah ada Perkasa di mana penasihatnya adalah tidak lain tidak bukan Dr Mahathir sendiri. Tidakkah itu memadai sebagai gerakan orang Melayu?
Dr Mahathir mendakwa ada banyak kumpulan yang kononnya mahu menyatukan Melayu hingga membawa kepada perpecahan.
Siapakah yang terlibat menubuhkan Umno Baru, Bersatu dan Pejuang? Ia tidak lain tidak bukan Dr Mahathir Mohamad.
Perkara 152 dan 153 meliputi status Bahasa Melayu dan kedudukan orang Melayu masih ada di dalam perlembagaan. Ia tidak boleh dipinda selagi tidak mendapat persetujuan Majlis Raja-Raja.
Perkara yang tidak dibenarkan ialah isu 3R yang diberi tumpuan khusus di bawah Akta Hasutan kerana ada pihak menunggang sentimen perkauman, agama dan Raja-Raja Melayu untuk kepentingan diri sendiri.
Benar, Malaysia mempunyai banyak parti politik Melayu tetapi ia hanya berbeza dari sudut pendekatan yang diambil.
Contohnya UMNO mengambil pendekatan Melayu nasionalis manakala Pas mempunyai pendekatan Islamis.
Pendekatan yang berbeza penting dalam mendepani cabaran mengemudi Malaysia di abad ke-21.
BACA JUGA: Pasar Kobe, Jepun jadi inspirasi Mat Sabu untuk dilaksanakan di Malaysia