Bekas MB Terengganu dilantik semula Pengerusi KETENGAH

Berkuat kuasa serta-merta, bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Said dilantik semula sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH).

Perkara itu diumum oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada sidang media selepas Majlis Santunan Kasih Ramadan di Masjid Al-Ansar, Kem Sri Pantai, Seberang Takir malam tadi.

Turut hadir Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad yang juga Pengerusi AMANAH negeri.

Zahid berkata, kembalinya Ahmad menerajui KETENGAH diharap dapat membantu membangunkan wilayah pembangunan itu sebagai hub pengeluaran makanan dan hub pelancongan di Terengganu.

Presiden Umno itu juga berkata, KETENGAH juga akan memberi tumpuan dalam melahirkan usahawan baharu dalam kalangan penduduk dari kawasan luar bandar.

Ahmad, 66, yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu pernah dilantik memegang jawatan sama pada 15 Mei tahun lalu menggantikan Senator Datuk Razali Idris.

Pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal di bawah Parlimen Kemaman sejak empat penggal berturut-turut itu bagi menggantikan Senator Datuk Razali Idris.

KETENGAH diberi kuasa sejak 1973 untuk menjalankan pembangunan ekonomi dan sosial di kawasan seluas 443,876 hektar meliputi pedalaman daerah Dungun, Kemaman dan Hulu Terengganu.

Keseluruhan wilayah KETENGAH berjumlah 653,075 hektar iaitu kira-kira satu perdua daripada keluasan Terengganu.

LANJUT MENYUSUL

BACA JUGA Calon MB Kedah, Kelantan, Terengganu dari Umno sekiranya menang PRN

Â