Mat Sabu seru rakyat Malaysia sertai Himpunan Tolak Perang esok
Presiden AMANAH, Datuk Seri Mohamad Sabu menyeru seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa atau agama, bersama-sama menyertai Himpunan Tolak Perang bagi menyatakan bantahan terhadap zionis Israel yang menyerang Palestin dan Iran.
Himpunan tersebut akan diadakan selepas solat Jumaat esok, berhadapan Masjid Tabung Haji, Kuala Lumpur.
“Cukuplah! Dunia sudah terlalu lama dibelenggu dengan kezaliman dan kerakusan kuasa.
“Rejim Zionis terus melakukan kekejaman terhadap rakyat Palestin, mengebom hospital, memusnahkan sekolah, meragut nyawa anak kecil dan wanita tidak berdosa.
“Dan kini, serangan ke atas Iran pula menambah bara peperangan di rantau yang sudah pun berdarah,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Mohamad menegaskan supaya rakyat Malaysia tidak membisu dan terus menyuarakan penentangan terhadap perang, penindasan dan penjajahan.
Justeru beliau menyeru agar semua berhimpun, menyatakan solidariti bersama rakyat Palestin, Iran dan semua mangsa peperangan di seluruh dunia.
“Kita suarakan mesej jelas, Malaysia tolak perang! Rakyat Malaysia bersama perjuangan kemanusiaan!,” ujarnya lagi.
BACA JUGA Tidak hanya janji, RM89 bilion pelaburan bukti reformasi kerajaan sedang berjalan