Parlimen: Kebimbangan kapal selam nuklear beroperasi di ASEAN dibangkitkan

Kebimbangan mengenai kemungkinan kapal selam nuklear beroperasi di perairan negara ASEAN menjadi topik yang bakal dibangkitkan dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Perkara itu akan dikemukakan oleh Lim Guan Eng (PH-Bagan) dalam sesi pertanyaan menteri membabitkan pakatan pertahanan trilateral antara Australia, United Kingdom dan Amerika Syarikat (AUKUS).

Dalam soalannya Guan Eng mahu mengetahui apakah pendirian Malaysia ekoran pakatan pertahanan AUKUS yang mana Australia akan membeli lapan buah kapal selam perang nuklear berharga AU$368 bilion.

Beliau ingin tahu apa kesannya terhadap keselamatan negara-negara ASEAN berdasarkan Zone of Peace Freedom and Neutrality (ZOPFAN) dan sama ada lapan kapal selam perang nuklear akan dibenarkan beroperasi dalam perairan rantau ini.

Di bawah perjanjian itu yang dimeterai pada September 2021, AS dan United Kingdom bersetuju untuk membantu Australia untuk membangun dan menyebarkan kapal selam bertenaga nuklear, menambah kehadiran tentera Barat di wilayah Pasifik.

Penganalisis sebelum ini menyatakan pakatan itu dibuat bagi mengatasi pengaruh China di wilayah Indo-Pasifik.

Sementara itu, isu berkaitan kesihatan mental dalam kalangan anggota polis dibangkitkan Wan Hassan Mohd Ramli (PN-Dungun) yang meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan langkah bagi memastikan isu itu dapat dibendung dalam kalangan anggota pasukan keselamatan tersebut terutama yang memegang senjata api.

Katanya langkah itu bagi memastikan anggota dapat menjalankan tugas dengan mental yang stabil.

Penyokong kerajaan, Tan Hong Pin (PH-Bakri) pula meminta Menteri Kesihatan menyatakan status terkini dalam pelaksanaan Sistem Rekod Perubatan Elektronik (EMR) di hospital dan klinik di seluruh negara.

Sementara itu, persoalan ekonomi turut menjadi tumpulan apabila Datuk Seri Johari Abdul Ghani (BN-Titiwangsa) meminta Menteri Kewangan menyatakan jumlah hasil cukai serta peratusannya berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi tahun 2018, 2019, 2020, 2021 dan 2022.

Ahmad Tarmizi Sulaiman (PN-Sik) meminta Menteri Pendidikan menyatakan kekurangan guru-guru sekolah bagi pendidikan subjek teras dan apakah perancangan kementerian membabitkan jumlah pengambilan guru-guru baharu yang dilihat masih tidak mencukupi bagi menampung jumlah murid yang semakin ramai akibat kepadatan penduduk di sesuatu kawasan.

BACA JUGA: Lim Guan Eng hantar surat saman kepada Mahiaddin

Â