Lim Guan Eng hantar surat saman kepada Mahiaddin

Lim Guan Eng (Bagan-PH) telah menghantar protokol tindakan saman kepada presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) merangkap pengerusi Perikatan Nasional Tan Sri Mahiaddin Yassin.

Saman yang dihantar melalui peguamnya Guok Ngek Seong mendakwa bahawa Mahiaddin yang juga ahli parlimen Pagoh telah memfitnah beliau dengan mendakwa bahawa Lim telah membatalkan pengecualian cukai ke atas Yayasan al- Bukhary. Dakwaan Mahiaddin telah disiarkan di dalam laman Facebook beliau pada 10 Mac.

Lim turut mendakwa Mahiaddin memfitnahnya dalam satu kenyataan media pada 11 Mac yang turut disiarkan di dalam laman Facebook. Kenyataan tersebut telah dilaporkan oleh media massa

Seterusnya pada 12 Mac, Mahiaddin menyatakan bahawa tidak akan menarik balik kenyataan berunsur tuduhan terhadap Lim ketika membuat ucapan penggulungan semasa perhimpunan agung Bersatu di Menara PGRM.Menurut Guok kenyataan Mahiaddin memberi gambaran bahawa Lim menyalah gunakan kuasa ketika menjawat jawatan Menteri Kewangan. Selain itu Mahiaddin menggambarkan Lim sebagai seorang yang bersikap perkauman, anti Melayu dan anti Islam.

Mahiaddin dikatakan menuduh Lim sebagai menyalahgunakan kuasa dengan mengarahkan Lembaga Hasil Dalam Negara untuk mengenakan cukai ke atas ke atas pertubuhan yang tidak dicukai.

Guok turut menyatakan bahawa kenyataan Mahiaddin menggambarkan Lim sebagai menteri yang menyalahgunakan kuasa, berniat jahat dan melakukan jenayah sewaktu menjadi menteri.

Menurutnya, tuduhan terhadap anak guamnya berniat jahat dan adalah palsu.

Lim menerusi peguamnya juga menyatakan Mahiaddin tidak mempunyai sebab untuk memfitnahnya sedangkan Mahiaddin sendiri berhadapan dengan kes rasuah dan pengubahan wang haram.

Lim menambah kes yang dihadapi oleh Mahiaddin juga tidak berkaitan dengan tuduhannya.

Sekiranya Mahiaddin tidak membalas surat dari Guok, maka writ saman akan difailkan terhadap Mahiaddin.

BACA JUGA: Mahiaddin didakwa terima rasuah RM5 juta dari Bukhary Equity