Kesian makcik ni, terpaksa tidur dalam lokap tiada penjamin, RM10,000 saja
Padah memuat naik hantaran berbaur kebencian membabitkan Yang di-Pertuan Agong, seorang ibu kepada enam anak di Selangor terpaksa tidur dalam lokap lantaran tidak mampu membayar ikat jaminan RM10,000.
Suri rumah itu yang tidak diwakili peguam dalam rayuan memohon jaminan dikurangkan kepada RM500 dengan alasan suaminya adalah penanggung tunggal keluarga.
Hakim kemudian membenarkan ikat jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin warga tempatan berserta syarat tambahan.
Suhaila Abd Halim, 39, dikehendaki melaporkan diri ke balai polis berhampiran kediaman sebulan sekali dan tidak mengganggu saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

Terdahulu, Suhaila selaku Orang Kena Saman (OKS) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam semalam atas pertuduhan membuat penghantaran komunikasi bersifat jelik terhadap Sultan Ibrahim menerusi akaun Facebook miliknya pada Januari lalu.
Bagaimanapun,dia mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norazlin Othman.
Menurut pertuduhan, OKS berkenaan secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komen yang jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.
Hantaran itu dibuat pada 4 Januari dan dilihat pada 5 Januari, kira-kira jam 8.30 pagi di Hospital Sungai Buloh.
Ekoran itu, Suhaila didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] yang boleh dihukum di bawah seksyen 233(3) Akta yang sama.
Dia jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya.
Dalam masa sama, Suhaila juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Fadhli Ab Wahab bersama Pegawai Pendakwa MCMC Mohamad Azmir Mohd Razali.
Mahkamah kemudian menetapkan 17 September untuk sebutan semula bagi serahan dokumen dan lantikan peguam.
Sebelum ini, MCMC sudah kerap mengingatkan orang ramai agar tidak memuat naik atau berkongsi sebarang kandungan berbaur kebencian membabitkan elemen perkauman, agama dan Institusi Diraja (3R – Race, Religion, Royalty) di media sosial dan aplikasi pemesejan.
Walau bagaimanapun, penyokong parti pembangkang dilihat bukan sahaja tegar menyerang kerajaan bahkan memuat naik hantaran atau meninggalkan komentar membabitkan elemen 3R.
Justeru, jika terjumpa kandungan berbaur hasutan, provokasi ataupun menghina agama, Institusi Diraja dan perkauman, segera laporkan kepada MCMC melalui portal Aduan MCMC di pautan https://aduan.skmm.gov.my/, talian aduan: 1800-188-030, WhatsApp di 016 2206 262 dan e-mel di aduanskmm@mcmc.gov.my.
Orang ramai juga boleh menyalurkan maklumat atau melaporkan berita palsu melalui pautan https://sebenarnya.my/salur/.
BACA JUGA Setpol PM sekolahkan pembangkang, urusan rasmi PM bukan pergi ‘jalan-jalan’