Selepas gempar onar ‘ustaz jelmaan’, ini saranan kepada jabatan agama dan pentadbir masjid

Gempar baru-baru ini kisah ‘ustaz jelmaan’ menyebarkan video seks bersama-sama empat isterinya selain pendedahan seorang mutawif yang diperdaya oleh penceramah berkenaan.

‘Ustaz jadian’ muncul jadi bualan selepas tular kisahnya sebagai kaki hutang selain merakam aksi seks.

Lantaran itu, aktivis Mona Din menyarankan kepada Jabatan Agama Islam di semua negeri memiliki sistem atau aplikasi dilengkapi pangkalan data berkenaan senara penceramah bertauliah yang sentiasa dikemaskini.

Menurutnya, kes ustaz ‘penunggang agama’ di negara ini semakin tenat dan sudah sampai masanya Jabatan Agama mewajibkan semua pentadbir masjid merujuk kepada senarai penceramah bertauliah.

“⁠Masjid atau surau rujuk kepada Jabatan Agama Islam untuk semakan atau semak sendiri dalam sistem. Contohnya, di Selangor e-Tauliah.

“⁠Senarai ini boleh diaksses oleh orang awam, surau, masjid dan semua jabatan agama setiap negeri,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Beliau berkata, tauliah juga perlu hanya diberi kepada individu yang berpendidikan Islam sepenuhnya bermula daripada peringkat rendah sehingga tamat pengajian tinggi dan bukan hanya pergi belajar pondok, kitab atau kursus.

“Jika ada sesiapa yang tauliahnya ditamatkan, atau telah ditangkap memberi ceramah agama tanpa tauliah, semua masjid dan surau perlu dimaklumkan segera.

“Makluman itu sama ada melalui kenyataan media, buletin jabatan agama, surat pekeliling, e-mel mahupun WhatApp berserta gambar individu terbabit, bersama perintah untuk tidak mengambilnya lagi memberi ceramah,” kata Mona.

Mengulas pembongkaran membabitkan penceramah yang sudah ditahan polis pada 1 Julai lalu dengan telefon bimbit dan komputer riba miliknya dirampas, Mona berkata, aduan tentang individu berusia 39 tahun itu yang menyalahgunakan tauliah motivasi telah dibuat pada 2022.

“Jabatan Agama dah tahu, dah siasat, dan terus tarik balik tauliah.

“Tapi tugas pihak agama ni sekadar tarikh balik tauliah? Itu sahajakah?

“Pejabat Agama yang tahu, tetapi masjid dan surau di seluruh Selangor tahu tak?” soalnya.

“Persoalannya, jabatan agama ada maklumkan tak tentang orang ini kepada surau-surau dan masjid-masjid di Selangor?

“Apakah ada dalam SOP pejabat agama negeri-negeri yang mereka perlu mmaklumkan tentang ‘ustaz menyamar’ sebegini kepada pihak surau dan masjid, agar tidak memberi peluang si penipu-penipu untuk terus memberi ceramah agama?” tegas Mona lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim dilapor berkata, pihaknya pada minggu lepas telah merekod keterangan empat isteri kepada penceramah terbabit.

Setakat semalam, jelasnya, lima saksi termasuk empat isteri penceramah itu telah dirakam percakapan bagi membantu siasatan.

Menurutnya, kes masih dalam siasatan dan kertas siasatan akan dirujuk ke timbalan pendakwa raya dengan segera.

Suspek kemudian direman empat hari selepas ditahan pada 1 Julai lalu untuk siasatan di bawah Seksyen 509 Kanun keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 sebelum dibebas dengan ikat jamin polis.

Dalam masa sama, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan juga dilaporkan berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) negeri telah menerima laporan daripada dua wanita berusia 40-an.

Kedua-duanya mendakwa diperdaya seorang penceramah membabitkan pembangunan sekolah agama di Selangor sehingga menanggung kerugian mencecah RM140,000.

BACA JUGA Trump gelar Netanyahu lelaki terhebat di dunia