Bang Mat buat promosi makan buah-buahan tempatan kat rumah, ikan tilapia juga dibakar
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu hari ini telah mempromosi buah-buahan tempatan di rumah beliau.
Turut diadakan adalah program akuakultur dan galakan membeli beras tempatan.
“Majlis ini bukan sekadar jamuan, ia adalah satu ikhtiar kecil tetapi penuh makna untuk memartabatkan hasil bumi kita sendiri.
“Sebanyak 1,200 ekor ikan tilapia merah dituai hari ini, dengan anggaran 300 hingga 500 gram seekor. Sebahagiannya dibakar dan digoreng untuk tetamu, manakala selebihnya Bang Mat hadiahkan kepada yang hadir sebagai tanda ingatan.
“Buah-buahan tempatan pula melimpah ruah, ada durian, rambutan, manggis, nangka dan pelbagai lagi. Inilah bukti tanah kita subur dan kaya, hasil titik peluh para petani yang wajar kita banggakan dan terus sokong,” katanya dalam satu hantaran Facebook.
Beliau turut menggalakkan rakyat tempatan menceburi bidang penternakan ikan secara kecil-kecilan.
“Tunjuk ajar dan bantuan boleh diperoleh melalui Jabatan Perikanan. Pihak Kementerian sentiasa terbuka untuk membantu sesiapa sahaja yang berminat untuk menceburi bidang pertanian dan akuakultur.
“Ini sebahagian daripada usaha bersama kita untuk menjamin keterjaminan makanan negara,” katanya.
Antara tetamu khas yang turut menghadiri majlis tersebut ialah Dato’ Seri Dr. Wan Azizah, isteri Perdana Menteri; isteri Menteri Agama; isteri Menteri Dalam Negeri; dan isteri Menteri Kesihatan.
BACA JUGA: Pertingkatkan hasil daging, padi jadi tumpuan, kata Mohamad Sabu