Peguam PKR sokong Nurul Izzah hadir perhimpunan, sedia khidmat guaman jika diambil tindakan
Seorang peguam, Ahmad Nizam Hamid menghargai kehadiran Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar yang memberikan sokongan dan solidariti bersama Majlis Peguam Malaysia mempertahankan kebebasan kehakiman yang menjadi teras penting negara.
Beliau yang juga anggota Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata, kehadiran Nurul Izzah sebagai seorang pemimpin kanan parti wajar diberi penghargaan yang memperlihatkan komitmen mempertahankan kebebasan kehakiman.
“Sebagai anggota Parti Keadilan Rakyat, saya memohon Datuk Dr Setiausaha Agung KEADILAN agar tidak mengambil tindakan disiplin seperti siasatan terhadap Puan Nurul Izzah atau molek juga tidak terlalu teruja mengeluarkan kenyataan media seperti terhadap sembilan Ahli Parlimen terkait.
“Pada masa yang sama, saya juga memohon kepada Ketua-Ketua Cabang dari Negeri Johor dan Negeri Kedah, dari hati nurani saya, janganlah buat aduan untuk gantung sementara atau apa-apa tindakan disiplin terhadap Puan Nurul Izzah Anwar ini,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, Nurul Izzah menghadiri perhimpunan membela kebebasan kehakiman di Putrajaya yang merupakan anjuran Badan Peguam Malaysia.
Perarakan dari pekarangan Istana Kehakiman menuju ke Pejabat Perdana Menteri (PMO) itu menyaksikan Nurul Izzah turut memegang plakad yang tertera ungkapan “Pertahankan kebebasan kehakiman”.
Mengulas lanjut, Ahmad Nizam berkata, sebagai Peguambela dan Peguamcara, beliau menawarkan khidmatnya atas kapasiti seorang pengamal undang-undang.
Jelasnya, beliau bersedia untuk membela dan mempertahankan Nurul Izzah jika terdapat aduan daripada Ketua-ketua Cabang atau tindakan ke Lembaga Disiplin parti.
BACA JUGA Tiada gas pemedih mata tapi aiskrim diagih penghilang dahaga