Pemuda PH serah memo bantah pencalonan Nick Adams
Pemuda Pakatan Harapan hari ini menyerahkan satu memorandum bantahan kepada Kedutaan Amerika Syarikat untuk menolak pencalonan Nick Adams sebagai Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia.
Mereka berhimpun beramai-ramai di luar perkarangan kedutaan itu selepas solat Jumaat tadi.
Ia sebagai isyarat kepada Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump bahawa Nick Adams bukan individu sesuai untuk mewakili negara Malaysia.
“Kami menolak sekeras-kerasnya pelantikan ini kerana beliau mempunyai latar belakang yang tidak sensitif dengan budaya di Malaysia. Di sini Islam adalah agama rasmi, jadi kita lihat hantaran-hantaran yang telah dibuat oleh Nick Adams ini, terlihat tidak sensitif.
“Kita percaya jika beliau lah yang dipilih dan dihantar ke Malaysia, ini akan mengeruhkan hubungan Malaysia dengan AS. Sebab kita kena tahu duta ini tugasnya ialah jadi jambatan antara dua negara. Kita tak mahu orang yang boleh musnahkan jambatan itu.
“Jadi sebab itu kami Pemuda PH bersama-sama NGO, dan mahasiswa datang untuk menghantar memorandum penolakan beliau,” kata Timbalan Ketua AMK, Mohammad Izuan Kasim.
Pencalonan Adams telah dibantah ramai pihak termasuklah aktivis dan tokoh awam tempatan.
Dia bakal menggantikan Edgard Kagan, diplomat kerjaya yang dicalonkan oleh bekas presiden AS Joe Biden pada Mei 2023.
Adams terkenal dengan hantaran media sosial yang mempromosikan Islamofobia. Dia juga secara terbuka menyokong Zionisme.
Bekas menteri kesihatan, Khairy Jamaluddin sebelum ini pernah berkongsi satu hantaran oleh Adams tahun lalu, yang mendakwa dia berjaya memecat seorang pelayan restoran yang memakai lencana “Free Palestine”.
BACA JUGA Hakim sudah dilantik, tak perlu timbul lagi desakan tubuh RCI – KANUN