PM minta YB Arau sepakat dulu dengan pembangkang sebelum tanya peruntukan

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyarankan Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim untuk berunding dahulu dengan blok Perikatan Nasional (PN) jika mahukan peruntukan pembangkang.

Ini kerana kata beliau pembangkang sendiri tidak sepakat apabila ada yang bersetuju dan ada yang menolak untuk berunding dengan kerajaan berhubung perkara tersebut.

“Sekarang ini belum ada kesepakatan. Ada yang nak (berunding) seorang, ada yang nak berkumpulan. Ada yang bersetuju runding, ada yang tidak bersetuju runding.

“Jadi, saya cadangkan YB Arau runding dahulu dengan Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN), ambil kata sepakat, beritahu Timbalan Perdana Menteri II (Datuk Seri Fadillah Yusof) yang mendapat mandat,” katanya dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Anwar menjawab soalan yang dibangkitkan Shahidan berhubung peruntukan Ahli-Ahli Parlimen pembangkang.

Mengulas soalan tambahan Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut), Anwar menyatakan kesediaannya untuk berjumpa dengan Ketua Pembangkang itu, namun menegaskan beliau sudah memberikan mandat kepada Fadillah untuk mengetuai rundingan mengenai isu itu bersama Ahli parlimen Pembangkang .

“Tetapi untuk berbincang hal-hal lain, saya tidak ada keberatan untuk berjumpa dengan Ketua Pembangkang,” katanya.

BACA JUGA RM4 bilion ‘wang ehsan’ dah diagih kepada Terengganu, RM967 juta kepada Kelantan