Bantuan payung terjun meragut nyawa, petugas hospital turut terkorban
Bantuan kemanusiaan menggunakan payung terjun di Semenanjung Gaza bukan sahaja gagal memberi makanan kepada yang lapar, malah turut meragut nyawa mereka.
Kelmarin, petugas perubatan, Uday Nahid Al-Quraan dari Hospital Al-Aqsa Martyrs telah syahid selepas sebuah kotak bantuan udara jatuh tepat mengenai kepalanya di khemah pelarian Al-Zawaida di tengah Gaza.
Beliau sebelum ini pernah muncul dalam sebuah video mengecam cara penghantaran bantuan melalui udara yang memalukan, menurut platform X, Warfare Analysis.
Jururawat muda berkenaan menyifatkan bantuan yang dijatuhkan dari langit itu sebagai ‘bantuan penghinaan’ dan mendesak negara-negara Arab supaya membuka laluan lintasan.
Sementara itu, penulis dan sukarelawan Palestin, Mohammed Al Taban berkata, minggu lalu, 11 orang cedera apabila sebuah palet bantuan mengenai khemah-khemah di utara Gaza.
“Minggu lalu, saya melihat bantuan dijatuhkan dari langit berhampiran kejiranan saya di tengah Gaza, az-Zawayda.
“Saya dan jiran-jiran tidak berani mengejarnya kerana kami tahu sebaik sahaja ia mencecah tanah, pertempuran akan tercetus. Jika bantuan itu selamat dari udara, ia tidak akan selamat daripada perompak.
“Keadaannya hampir selalu sama. Tembakan mula kedengaran sebaik pesawat menjatuhkan kotak-kotak itu. Kumpulan bersenjata sudah menunggu di darat, bersedia merampas barangan dengan kekerasan.
“Siapa yang sampai dahulu, siapa yang melepaskan tembakan dahulu, dialah yang membawa pulang makanan itu. Bukan mereka yang paling memerlukannya,” tulis beliau yang disiarkan di Al Jazeera.
Nyawa melayang
Mohammed Al Taban turut menegaskan bahawa penurunan bantuan udara pada tahun lalu juga menyaksikan banyak nyawa melayang.
“Lima orang terbunuh di kem pelarian Shati di Bandar Gaza apabila payung terjun sebuah palet tidak terbuka; 12 orang lemas ketika cuba mendapatkan kotak bantuan yang jatuh ke laut; enam lagi maut dalam rempuhan setelah orang ramai berpusu-pusu ke lokasi penurunan bantuan,” katanya.
Menurutnya, idea bagi penurunan bantuan udara terbaharu ini datang daripada Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, yang menyeru dunia membantu melaksanakannya.
“Banyak kerajaan menyambut baik idea itu dan ada yang turut serta, termasuk Jordan, Emiriah Arab Bersatu dan negara-negara Eropah.
“Namun, Netanyahu amat sedar bahawa penurunan bantuan udara tidak akan menghentikan kebuluran rakyat Palestin.
“Sebab itulah beliau menyeru langkah ini, bukannya membuka laluan darat ke Gaza dan membenarkan agensi-agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengagihkan bantuan secara adil dan teratur seperti yang selalu dilakukan,” tambahnya lagi.
BACA JUGA Imej ‘holocaust’ terus berulang di Gaza, dunia tersentak lihat keganasan Zionis Israel