Ekstremis takfiri muncul kembali

Tindakan para penyokong Pas di Perlis melebelkan Pengarah Jabatan Agama Islam Perlis (JAIPs) sebagai kafir ketika mereka cuba menguatkuasa titah Raja Perlis perlu mendapat perhatian umum.

Perkara ini, jika tidak dibendung dengan segera, ia akan merebak dan menjadi ancaman besar kepada kestabilan dan keharmonian negara ini.

Isunya bukan setakat melebelkan ‘kafir’ kepada penguatkuasa agama sahaja tetapi melanggar dengan jelas titah Raja Perlis, ketua agama di negeri itu.

Pengarah JAIPs hanya melaksanakan titah Raja Perlis namun dikafirkan oleh penyokong Pas di MATIN.

Yang menariknya juga, perkara ini berlaku di MATIN, tempat di mana Exco Agama Perlis sekarang adalah bekas Timbalan Pengetua MATIN sebelum Pas menang di negeri itu.

MATIN atau nama penuhnya adalah Ma’had Tahfiz Al Quran Al Imam An Nawawi adalah milik Pas di Perlis.

Minggu lepas, Pengarah JAIPs dan pegawainya cuba untuk mendapatkan kenyataan seorang penceramah yang didakwa tidak mempunyai tauliah mengajar agama di MATIN, namun penyokong Pas di situ telah menghalangnya di samping menghamburkan kata-kata kesat termasuk mengkafirkan beliau dan kakitangannya.

Perkara ini telah menyebabkan Ahli Jawatankuasa Fatwa Perlis, Dr Rozaimi Ramle bersetuju dengan pandangan Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil bahawa ada ektremis takfiri di negara ini.

“Saya bersetuju dengan Menteri Fahmi Fadzil dalam isu ini. Fahaman ekstremis takfiri masih ada di Malaysia ini. Harap kerajaan mengambil tindakan serius dalam isu ini,” kata beliau.

Apa yang berlaku di Perlis tidak dapat dipisahkan dengan apa yang berlaku di Terengganu. Ini kerana, kalau Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang sendiri tidak mematuhi titah Sultan Terengganu, apa yang diharapkan dari anak buah beliau di Perlis.

Sehingga kini, Hadi tidak bercadang untuk mematuhi arahan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) agar orang politik tidak memberikan kuliah dan juga khutbah Jumaat di masjid dan surau negeri itu.

Bahkan, bukan setakat Hadi, anak beliau yang merupakan Adun Batu Burok, Dr Mohamad Khalil Abdul Hadi juga turut tidak nampak mahu mematuhi titah Sultan Terengganu melalui MAIDAM itu.

Jumaat lalu, Khalil menggantikan ayahnya memberikan kuliah dhuha di Masjid Rusila, Marang, yang jelas sekali bertentangan dengan keputusan dan arahan MAIDAM.

Namun, adakah MAIDAM dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (JHEAIT) akan bertindak ke atas pihak yang melanggar titah Sultan Terengganu ini.

Belum tentu lagi nampaknya….Apatah lagi di Terengganu tidak ada tokoh yang berani bertindak sebagaimana beraninya Mufti Perlis, Datuk Dr Mohamad Asri Zainur Abidin untuk memastikan titah Sultan dan Raja yang menjadi ketua agama dilaksanakan.

 

BACA JUGA Penyokong Pas kafirkan Pengarah Jabatan Agama Perlis dikesali

JUGA Bendung fahaman militan Daesh di media sosial, Fahmi jumpa Pengarah CID Ahad

DAN JUGA Pas dan takfiri adalah benar, bukan persepsi