27 penjawat awam dikenakan tindakan disiplin, langgar peraturan buat kenyataan awam

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa memaklumkan seramai 27 kakitangan kerajaan berdepan tindakan tatatertib kerana membuat kenyataan awam termasuk mengkritik dasar kerajaan yang boleh menyebabkan kegelisahan orang ramai.

Beliau berkata kes itu direkodkan di bawah Peraturan 19 Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993, berdasarkan data Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi tahun 2024.

“Seseorang penjawat awam adalah tertakluk kepada Surat Aku Janji sebagaimana yang diperuntukkan dalam Subperaturan 20(3), Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Pelantikan, Kenaikan Pangkat dan Penamatan Perkhidmatan) 2012.

“(Menerusi) Surat Aku Janji tersebut, setiap pegawai awam bertanggungjawab untuk mematuhi segala peraturan termasuk Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993, Perintah-Perintah Am, pekeliling, surat pekeliling, peraturan dan arahan lain yang dikeluarkan dari semasa ke semasa sepanjang tempoh perkhidmatannya dengan kerajaan,” katanya dalam jawapan bertulis.

Zaliha menegaskan bahawa kenyataan awam yang dibuat tanpa kawalan, terutamanya yang melibatkan ketepatan data, boleh menyebabkan kegelisahan awam yang tidak wajar.

“Setakat ini, kerajaan berpandangan peraturan sedia ada wajar dikekalkan bagi memastikan pegawai awam sentiasa menjaga tatakelakuan seperti yang ditetapkan,” katanya.

BACA JUGA DAP taja Jalur Gemilang gergasi, Akmal pembuli