Terkini rayuan AG ditolak, Titah Adendum Najib akan didengar di Mahkamah Tinggi
Mahkamah Persekutuan hari ini sebulat suara menolak permohonan Peguam Negara untuk menyekat Datuk Seri Najib Razak daripada meneruskan pendengaran berkaitan Titah Adendum.
Keputusan itu diputuskan secara sebulat suara oleh panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai Hakim Besar Malaya, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim.
Dengan keputusan itu, ia mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan awal tahun ini yang mengembalikan semakan kehakiman bekas Perdana Menteri ke Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan.
Justeru, Najib akan membentangkan hujah di Mahkamah Tinggi dalam usaha memaksa kerajaan menguatkuasakan titah adendum membenarkannya menjalani baki hukuman penjara secara tahanan rumah.
Dua lagi hakim yang turut bersidang ialah Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Zabariah Mohd Yusof dan Datuk Hanipah Farikullah.
Hakim Zabariah ketika membacakan keputusan itu berkata, persoalan sama ada Titah Adendum itu wujud atau sah hanya boleh ditentukan pada peringkat perbicaraan di Mahkamah Tinggi.
“Kami tidak menganggap wajar atau adil untuk memberi sebarang pandangan mengenai perkara ini pada peringkat sekarang,” katanya menurut Astro Awani.
Pada 9 Julai lalu, panel berkenaan selesai mendengar hujahan Peguam Negara, Tan Sri Mohd. Dusuki Mokhtar dan Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan serta peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib.
Ia bagi memutuskan sekiranya rayuan Peguam Negara ditolak atau diterima.
Sebelum ini, Najib mahukan perintah mandamus bagi memaksa kerajaan dan enam yang lain mengesahkan kewujudan titah adendum yang didakwa diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong (YDPA) ke-16
BACA JUGA Saman cabar kesahihan Ahli Parlimen Anwar tiada asas undang-undang