Serangan ke atas anak Rafizi percubaan jahat, khianat: PMX

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengecam serangan ke atas anak Rafizi Ramli (PH-Pandan) yang telah berlaku tengah hari tadi.

Beliau menyifatkan serangan itu sebagai percubaan jahat dan khianat.

“Kita masih belum reda dari gejala buli di sekolah, muncul pula satu lagi tindakan yang sangat dikesalkan. Mutakhir adalah percubaan jahat dan khianat terhadap anakanda saudara Rafizi Ramli.

“Saya telah menghubungi Menteri Dalam Negeri saudara Saifuddin Nasution bagi memastikan siasatan telus dan segera.

“Mendoakan kesejahteraan yang terbaik buat saudara Rafizi serta keluarga,” katanya dalam satu hantaran media sosial.

Sementara itu, Datuk Seri Saifuddin pula memberi jaminan bahawa pihak Polis Diraja Malaysia akan menjalankan siasatan menyeluruh.

“Kementerian Dalam Negeri (KDN) memandang serius kejadian ini dan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah digerakkan untuk menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengenal pasti dan membawa pihak yang bertanggungjawab ke muka pengadilan.

“Perlu saya tegaskan juga bahawa semua siasatan dijalankan secara adil dan berlandaskan undang-undang, tanpa dipengaruhi oleh status atau latar belakang mana-mana pihak, selaras dengan tanggungjawab PDRM memastikan keselamatan dan keadilan untuk semua rakyat termasuk kanak-kanak.

“Keselamatan rakyat adalah keutamaan, dan tiada kompromi terhadap sebarang bentuk keganasan atau ancaman,” katanya dalam satu kenyataan media.

BACA JUGA: Serangan terhadap anak saya – Rafizi Ramli