Islam tetap kekal semarak, guru pondok terima naratif Malaysia Madani
Oleh DR ZULQARNAIN LUKMAN
Baru-baru ini telah diadakan Ijtima’ Madani Ulama dan Guru Pondok Kelantan 2025 di UiTM Kampus Machang yang telah dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ijtima’ itu telah menghasilkan tujuh resolusi iaitu:
1) Memartabatkan fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah manhaj al-Asyairah dan al-Maturidiyah sebagai fahaman rasmi negara.
2) Pengiktirafan terhadap sistem Pondok Turath sebagai model pendidikan arus perdana.
3) Menyanjung peranan ulama pondok dan ulama tempatan sebagai pembimbing spiritual masyarakat.
4) Penglibatan langsung guru-guru pondok dalam penentuan dasar berkaitan pondok.
5) Menyeru kerajaan menyokong pembangunan prasarana, infrastruktur dan kewangan institusi pondok.
6) Sebarang cadangan penambahbaikan dan transformasi pondok hendaklah melalui rundingan telus dan persetujuan bersama penggiat pondok.
7) Pengiktirafan institusi pondok sebagai warisan tradisi Islam negara dalam naratif Malaysia Madani.

Kiranya Ijtima’ tersebut telah mencapai objektif untuk mendekatkan naratif Malaysia Madani dengan institusi pondok.
Ternyata program tersebut telah mencatat kehadiran ribuan penggiat pondok termasuk alim ulama tradisi.
Lebih menarik lagi program perasmian itu telah dihadiri oleh Perdana Menteri Malaysia sendiri.
Dari sudut Perlembagaan Persekutuan, program tersebut nyata sekali adalah selari dengan kehendak Perkara 3(1) iaitu penyataan bahawa Islam adalah agama bagi Persekutuan.
Islam di bawah Malaysia Madani tetap kekal semarak. Penganjuran program tersebut meskipun anjuran oleh pihak Persekutuan, namun sudah pasti akan melibatkan pihak Negeri kerana Ketua Agama Islam di peringkat negeri adalah Sultan Kelantan itu sendiri.
Sultan Kelantan pula akan dinasihati oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan.
Seingatnya, inilah kali pertama dalam sejarah Malaysia seorang Perdana Menteri telah hadir ke Ijtimak Ulama dan Guru Pondok Kelantan.
Sebelum ini, tiada lagi mana-mana Perdana Menteri yang memberikan pengiktiran yang begitu tinggi kepada ulama dan guru pondok di Kelantan.

Tindakan terpuji
Sikap kerajaan negeri yang diwakili oleh Pas yang terbuka untuk menerima kehadiran Perdana Menteri untuk merasmikan program tersebut adalah satu tindakan yang terpuji.
Sikap politik baharu kerajaan negeri itu menunjukkan kerajaan negeri itu telah menerima hakikat politik yang lebih matang.
Tindakan sebegitu sebenarnya adalah amat baik untuk perkembangan Islam.
Sebelum ini, jurang politik telah membentuk fahaman ekstrem sehingga mewujudkan isu kafir-mengkafir dan sembahyang Jumaat dua imam.
Selain itu, program ini juga telah menampakkan keteguhan pemikiran islamik Perdana Menteri yang terus berusaha untuk memartabatkan Islam tanpa mengira fahaman politik.
Sikap mendekati ulama dan guru pondok ini menunjukkan keterbukaan Perdana Menteri untuk menerima tausiyah dan nasihat daripada guru pondok dalam membentuk naratif Malaysia Madani.
Seperkara lagi, guru-guru pondok di Kelantan ini pernah mengeluarkan resolusi mengenai kewajipan memperkukuhkan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah mengikut pegangan dan huraian Mazhab Asha’irah dan Maturidiah.
Mereka juga menolak fahaman dan huraian yang bercanggah dengan fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah seperti fahaman syiah, muktazilah, khawarij, wahabi (mujassimah), liberalisme, pluralisme dan lain-lainnya.
Malah, guru-guru pondok ini menyatakan perlu dihapuskan matapelajaran secara formal dan tidak formal (seperti usrah) yang mempunyai huraian akidah yang menyalahi prinsip Mazhab Asha’irah Maturidiah.
Ia seperti huraian akidah bertunjangkan pembahagian tauhid kepada tiga, Rububiyyah, Uluhiyyah dan al-Asma wa as-Sifat.
Guru pondok terima PM
Penerimaan guru-guru pondok ini kepada Perdana Menteri menunjukkan bahawa mereka menerima Perdana Menteri ini sebagai orang yang boleh diharapkan untuk mengukuhkan fahaman tersebut.
Dalam ucapan perasmian, Perdana Menteri menyebutkan:
“Satu-satu kubu pertahanan yang kekal selepas penjajahan adalah sistem pondok di Tanah Melayu dan pesantren di Indonesia.
“Dengan segala kekurangan yang ada, sistem itu kekal sebagai benteng pertahanan umat Islam dari segi akidahnya, ilmunya dan roh perjuangannya mengembalikan turath, legasi Islam itu sendiri.”
Berkaitan rencana kerangka Malaysia Madani, Perdana Menteri menyebutkan:
“Sebab itu, saya dah sebut kepada guru-guru pondok, tok-tok guru. Ini pendekatan kita, maknanya pondok kekal dengan turath dia kekal dengan pengajiannya, tetapi tambah dengan tuntutan baru.
“Insya-Allah, saya akan merencanakan Menteri Pendidikan Tinggi, Menteri Pendidikan, ICU dan Kementerian Kewangan untuk bincang semula dan bantu.
“Jadi, ini yang kita akan tumpu, bagaimana kita tingkatkan mutu, bukan sekadar kemudahan tetapi mutu pendidikan termasuk pendidikan Islam di pondok-pondok atau pesantren kalau dari istilah Indonesianya.”

Dengan komitmen tinggi sebegini, tidak ada sebab bagi guru-guru pondok untuk menentang naratif Malaysia Madani.
Komitmen yang diberikan oleh Perdana Menteri adalah untuk tidak mengganggu sistem turath tetapi untuk menambahbaik sistem tersebut supaya anak-anak pondok nanti dapat bersaing dan relevan dengan situasi semasa selari dengan perkembangan teknologi dan AI.
Bayangkan jika anak-anak pondok ini dapat menguasai teknologi dan AI, pastinya anak-anak pondok yang kukuh akidahnya dan mantap fikahnya akan menjadi benteng akidah dan fikah kepada anak-anak muda di dalam media sosial.
Buat akhirnya, sekalung tahniah kepada Akademi Nunji yang dipelopori oleh Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan.
Penglibatan JAKIM, MAIWP, YADIM, YPEIM, UiTM, Yayasan Taqwa, MAIK, JHEIK dan lain-lain berjaya menganjurkan program sebesar ini yang begitu bermakna.
Kerjasama antara pihak swasta dan kerajaan sebegini perlu diteruskan kerana ini bukan sahaja dapat menjimatkan tenaga dan kos, malah memastikan kejayaan program itu sendiri supaya mencapai matlamat yang ditetapkan.
*DR ZULQARNAIN LUKMAN merupakan Pengerusi Biro Undang-Undang (KANUN) AMANAH.
BACA JUGA Dah tiga tahun Anwar jadi PM tapi PN masih sibuk tunggang isu keabsahan